JUARA bertahan, Perak dan Terengganu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Divisyen Satu Hoki Piala Tun Abdul Razak setelah mengatasi lawan masing-masing di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Perak yang diperkuatkan dengan beberapa pemain kebangsaan bagaimanapun terpaksa bergelut sebelum menewaskan Kuala Lumpur 3-2.

Kuala Lumpur terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti oleh Muhamad Aminudin Mohd Zain seawal minit keempat sebelum Perak menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti oleh Hairul Nizam Ab Rani pada minit ke-14.

Penyerang kebangsaan, Muhammad Haziq Samsul meletakkan Perak di hadapan pada minit ke-20 hasil gol padang sebelum seorang lagi pemain kebangsaan, Mohd Ramadan Rosli menyamakan kedudukan untuk Kuala Lumpur menerusi gol padang pada minit ke-31.

Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal mengesahkan kutipan tiga mata untuk Perak menerusi gol padang pada minit ke-33.

Terengganu pula menang bergaya 3-1 ke atas Johor manakala satu lagi aksi divisyen satu menyaksikan Melaka menang tipis 3-2 ke atas Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiket ke final divisyen dua setelah melakar kemenangan keempat berturut-turut menerusi kemenang tipis 1-0 ke atas Pahang, sekali gus mengutip 12 mata maksimum.

Kapten PDRM, Baljit Singh Sarjab Singh muncul wira pasukan berkenaan apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-47.

Satu lagi slot final menjadi perebutan antara tiga pasukan iaitu Pahang, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Selangor.

Dua lagi aksi divisyen dua menyaksikan ATM mengatasi pasukan tercorot, Singapura 3-1 manakala Selangor menewaskan Kelantan 3-2.

Terdahulu, Kuala Lumpur dan PDRM mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing pada aksi terakhir Kumpulan A bagi kategori wanita.

Kuala Lumpur menang bergaya 3-0 ke atas Melaka manakala PDRM membelasah Singapura 5-0. – Bernama

 

Komen anda