MALAYSIAN Tigers kendalian Roelant Oltmans akhirnya menamatkan saingan Trofi Juara-Juara Asia 2018 di tempat ketiga selepas menewaskan juara Sukan Asia Jepun 3-2 menerusi penentuan pukulan penalti di Kompleks Sukan Sultan Qaboos di Muscat, Oman, kelmarin.

Prestasi yang boleh dibanggakan oleh jemaah hoki tempatan apatah lagi selepas dua kali berjaya menebus dendam terhadap Samurai Biru yang mengecewakan mereka di Palembang baru-baru ini.

Tambah menarik peledak negara Faizal Saari diumumkan penjaring terbanyak dengan lapan gol sepanjang kejohanan berlangsung.

Tampil aksi sulung menentang Jepun skuad negara bermula langkah kanan dengan kemenangan 3 – 0 ke atas lawan.

Rentak kemenangan skuad negara diteruskan ke atas tuan rumah Oman dengan jarigan 3 – 1

Bagai mendapat tonik semangat Malaysian Tigers melakar kemenangan ketiga ke atas Korea Selatan 4-2.

Bagaimanapun momentum skuad negara kembali kendur apabila bertemu buku dan ruas kuasa hoki Asia India yang mengikat mereka seri tanpa jaring sebelum akur kehebatan Pakistan apabila tunduk tipis 0-1 dalam perlawanan terakhir sepusingan berkenaan.

Mara ke suku akhir Malaysian Tigers menentang skuad sama yang mana pada kali ini skuad negara mempamerkan karakter melawan apabila bangkit ketinggalan 1-4 pada babak pertama untuk mengikat kedudukan 4-4 sehingga babak berakhir.

Dalam aksi penentuan shoot out nyata berpihak kepada Pakistan apabila menewaskan skuad negara 3-1 untuk mara ke final.

Edisi kali ini Malaysian Tigers berjaya mengulangi pencapaian sama dalam empat edisi sebelum ini iaitu di China pada 2011, Qatar (2012) dan Jepun (2013) dan Malaysia (2016).

Mengulas pencapaian itu, Oltmans menyifatkan jentera Malaysian Tigers boleh melakukan yang lebih baik, namun pengendali berusia 64 tahun dari Belanda itu tetap bangga komitmen diberikan pemainnya sepanjang kejohanan berkenaan.

“ Prestasi pemain pasukan tidak begitu cukup konsisten sepanjang kejohanan tetapi pada masa sama pemain juga memberikan banyak petanda positif dalam setiap persembahan mereka,” katanya.

INFO

PUSINGAN AWAL

Malaysia 3 – 0 Jepun
Oman 1 – 3 Malaysia
Malaysia 4 – 2 Korea Selatan
Malaysia 0 – 0 India
Pakistan 1 – 0 Malaysia

SEPARUH AKHIR

Pakistan 4 – 4 Malaysia
(Pakistan menang penentuan penalti shoot out 3-1)

PENENTUAN KETIGA KEEMPAT

Malaysia 2-2 Jepun
(Malaysia menang penentuan shoot out 3-2)

Komen anda