Petronas Yamaha SRT takkan beri laluan mudah

66
PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT)  sedia memberikan cabaran pada penyertaan  sulungnya dalam Kejuaraan Dunia MotoGP 2019.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, Petronas merasa bangga memperkenalkan logo dan pakaian seragam Petronas Yamaha SRT dan Petronas Sprinta Racing kerana ia saat yang penting untuk Petronas dan industri sukan permotoran Malaysia.
“Penglibatan Petronas dalam sukan permotoran selama berdekad menerusi penceburan kami dalam Formula Satu (F1) dan MotoGP.  Perkongsian ini menandakan kewujudan Petronas dalam keseluruhan spektrum perlumbaan motorsikal, daripada peringkat akar umbi, Cub Prix sehingga perlumbaan antarabangsa MotoGP, Moto2 dan Moto3,” kata Wan Zulkiflee dalam ucapannya pada pelancaran rasmi pasukan itu yang berlangsung di ruang legar Dewan Philharmonic Petronas di sini baru-baru ini.
Pengerusi Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh melancarkan logo dan pakaian pasukan itu yang menonjolkan logo Petronas dengan warna hitam dan hijau Petronas pada jentera dan pakaian serta peralatan menunggang pelumba.
Pasukan Petronas Yamaha SRT diwakili oleh Pelumba Rookie Terbaik MotoGP 2018, Franco Morbidelli dari Itali dan bekas pelumba Moto2, Fabio Quartararo dari Perancis yang bertanding menggunakan jentera, Yamaha YZR-M1 yang mempunyai spesifikasi sama dengan jentera digunakan pasukan pengeluar.
Warga Malaysia dan dua kali pemenang podium Moto3, Khairul Idham Pawi akan melengkapkan kategori Moto2 di bawah sepanduk Petronas Sprinta Racing sementara Ayumu Sasaki dari Jepun dan pelumba Scotland John McPhee, pula akan membawa cabaran dalam Moto3.
Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit dan Prinsipal Pasukan Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali berkata amat penting bagi pasukan ini untuk bermula dan mempamerkan prestasi yang baik dalam tahun pertama, dengan kepercayaan dan keyakinan penuh kepada kedua-dua pelumbanya, Morbidelli dan  Quartararo.
“Sementara pasukan baharu MotoGP masih lagi sebagai pasukan bukan pilihan, kami bercita-cita tinggi dalam sasaran kami,” katanya.
Pesanan kepada Khairul Idham semasa pelancaran itu, Razlan berkata ini adalah peluang pelumba itu untuk set semula, fokus semula dan mereka akan membantunya untuk menjadi yang terbaik.
“Satu daripada tempat MotoGP ini adalah untuk anda mendapatkannya dan menjadi pelumba Malaysia pertama dalam pasukan ini. Sebelum anda mengetahuinya, anda akan merealisasikan impian anda untuk menjadi pelumba MotoGP dengan Petronas Sepang Racing  Team,” katanya. – Bernama

Komen anda