Piala Tan Sri P Alagendra: Mohamad Akhimullah wira TNB

147

 

TENAGA Nasional Berhad (TNB) memulakan kempen Liga Hoki Malaysia (LHM) dengan langkah kanan selepas menewaskan Pasukan Hoki Terengganu (THT) 2-1 pada aksi final untuk merangkul Piala Tan Sri P. Alagendra di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Pada perlawanan berkenaan, penyerang skuad remaja negara, Mohamad Akhimullah Anuar Esook muncul wira TNB apabila meledak gol kemenangan pada penghujung babak perlawanan.

Lebih manis, penjaga gol TNB, S. Kumar, yang merupakan penjaga gol skuad senior kebangsaan, dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan akhir dan membawa pulang RM1,000.

Selaku juara, TNB membawa pulang trofi kejohanan dan wang tunai RM20,000 manakala THT terpaksa berpuas hati dengan jumlah RM10,000 selaku naib juara yang disampaikan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal.

Perlawanan bermula dengan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi terbaik dengan saling bertukar serangan, namun keampuhan benteng pertahanan pasukan masing-masing menyaksikan keputusan seri tanpa jaringan pada babak pertama perlawanan.

Sebaik sahaja perlawanan bersambung, kedua-dua pasukan meneruskan asakan ke kubu masing-masing, namun nasib lebih menyebelahi TNB yang membuka tirai jaringan pada minit ke-46 menerusi pukulan penalti yang disempurnakan pemain kebangsaan, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan.

Kedudukan itu tidak bertahan lama apabila bekas pemain kebangsaan, Muhammad Rashid Baharom menyamakan kedudukan untuk THT menerusi jaringan padang, selang dua minit kemudian.

Ketika perlawanan seolah-olah berakhir dengan keputusan seri, Mohamad Akhimullah menjaringkan gol kemenangan menerusi jaringan padang pada minit ke-60.

Pengendali TNB, Nur Saiful Zaini Nasiruddin, yang ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah menjelaskan, beliau gembira dengan kejayaan tersebut namun sedikit kecewa dengan corak permainan terutamanya jentera serangan pasukan berkenaan yang gagal menyempurnakan banyak peluang terhidang.

Bagi Mohamad Akhimullah, kejayaan tersebut mengubat duka untuk dirinya selepas kehilangan neneknya yang meninggal dunia semalam, namun berterima kasih kepada rakan sepasukan dan pengurusan pasukan yang menjadi watak utama kejayaan pada hari ini.

“Saya sangat berbangga kerana dapat bantu TNB muncul juara, namun saya akui perlu tajamkan sentuhan penyudah pada perlawanan selepas ini.

“Kemenangan ini semestinya menaikkan semangat saya untuk membantu TNB meraih keputusan positif dalam divisyen premier Liga Hoki Malaysia 2019 yang bermula tidak lama lagi,” jelas anak jati Kemaman, Terengganu itu yang membantu skuad remaja negara meraih pingat emas pada Sukan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires, Argentina. – Bernama

INFO

JUARA
TNB (RM20,000)

NAIB JUARA
THT (RM10,000)

PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN AKHIR
S Kumar (TNB) RM1,000.

Komen anda