Piala TNB 2019: THT laung amaran awal

220

PASUKAN Hoki Terengganu (THT) melaungkan keazaman merampas kembali Piala TNB daripada Universiti Kuala Lumpur (UniKL) serta mempertahankan gelaran juara Liga Premier menjelang saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2019 awal Januari depan.

Pengurus pasukannya, Mohamad Saberi Salleh berkata, pasukan itu yang akan dibarisi beberapa pemain kebangsaan seperti adik-beradik Faizal dan Mohd Fitri Saari, Muhammad Hafizuddin Othman serta penjaga gol Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri, mampu mengulangi kejayaan berganda ketika menjuarai Liga Premier MHL dan Piala TNB tiga kali berturut-turut sejak 2014.

Mohamad Saberi turut mengesahkan THT sudah mengenal pasti ketua jurulatih baharu bagi menggantikan Sarjit Singh yang berhijrah ke Johor, namun enggan mendedahkan nama pengendali tersebut.

“Dari segi persiapan, THT sudah kenal pasti barisan pegawai pengurusan, kejurulatihan dan pemain, termasuk pemain import. Kami akan kekalkan beberapa pemain import musim lalu selain membawa pemain baharu.

“THT juga akan dibarisi beberapa pemain pelapis daripada skuad Piala Tun Abdul Razak yang muncul naib juara dan skuad Sukan Malaysia (Sukma). Perkara ini sangat bagus untuk perkembangan skuad pelapis Terengganu,” katanya.

Sementara itu, penolong pengurus pasukan UniKL, Saiful Azhar Mohd Affandi mengakui UniKL tidak akan memberi laluan mudah buat THT kerana berhasrat mempertahankan kejuaraan pertama pasukan itu sejak ditubuhkan pada 2009.

“Arul Selvaraj sah membimbing pasukan buat musim ketujuh. Kami memang bersemangat tinggi mempertahankan gelaran, terutama dengan adanya gelanggang sendiri di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi,” katanya.

MHL 2019 akan membuka tirainya 11 Januari depan dengan menyaksikan THT dan UniKL bakal berentap untuk merebut Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu.

Komen anda