PENYANDANG juara Perak mengekalkan kejuaraan Divisyen Satu  Piala Tun Abdul Razak selepas menewaskan Terengganu 3-1 menerusi penentuan pukulan penalti pada aksi final setelah kedua-dua pasukan seri 2-2 pada aksi penuh perlawanan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil di sini, malam ini.
Pada aksi berkenaan, Terengganu berada di hadapan hasil gol padang Ameer Aiman Mohd Saberi pada minit ke-14 sebelum Shazrul Imran Nazli menyamakan kedudukan untuk Perak menerusi pukulan sudut penalti, selang beberapa saat kemudian.
Syamiru Aiman Bidin kembali meletakkan Terengganu di depan menerusi gol padang pada minit ke-22 sebelum Muhammad Azrai menyamakan kedudukan untuk Perak hasil gol padang pada minit ke-47.
Selaku juara, Perak membawa pulang RM10,000 dan trofi kejohanan manakala Terengganu meraih RM7,000 selaku naib juara dan lebih manis, pemain Perak, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir dan meraih RM1,000.
Kuala Lumpur pula menamatkan saingan di tempat ketiga divisyen satu setelah menang tipis 2-1 ke atas Melaka pada aksi penentuan tempat ketiga/keempat dan meraih RM5,000.
Dalam saingan divisyen dua, Pahang muncul juara setelah menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-1 pada aksi final dan membawa pulang RM5,000 manakala PDRM sekadar meraih RM3,000 selaku naib juara.
Selangor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula diisytiharkan sebagai pemenang bersama setelah perlawanan penentuan ketiga/keempat divisyen dua antara kedua-dua pasukan berkenaan tidak dapat diteruskan ekoran keadaan padang digenangi air akibat hujan lebat.
Dalam pada itu, Kuala Lumpur mengejutkan juara bertahan, Selangor 2-1 pada aksi final kategori wanita.
Pemain kebangsaan, Norazlin Sumantri meletakkan Kuala Lumpur di hadapan menerusi gol padang seawal minit keempat perlawanan sebelum Liyana Aqilah Mohd Sepawi menyamakan kedudukan untuk Selangor hasil gol padang pada minit ke-11, namun Norazlin memastikan kejuaraan untuk Kuala Lumpur setelah menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-29.
Selaku juara, Kuala Lumpur meraih RM5,000 manakala Selangor terpaksa berpuas hati dengan RM3,000 selaku naib juara.
Pulau Pinang dan ATM pula diisytiharkan selaku pemenang bersama setelah perlawanan penentuan ketiga/keempat kedua-dua pasukan berkenaan tidak dapat diteruskan susulan keadaan cuaca tidak mengizinkan.
KEPUTUSAN PENUH
 DIVISYEN SATU
Juara: Perak
Naib Juara: Terengganu
Ketiga: Kuala Lumpur
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (Perak)
Penjaring Terbanyak: Shello Silverius (Johor) dan Amirrullah Zainol (Melaka) – 5 gol
Fairplay: Terengganu
DIVISYEN DUA
Juara: Pahang
Naib Juara: PDRM
Ketiga: ATM dan Selangor (berkongsi kemenangan)
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Muhammad Izham Azhar (Pahang)
Penjaring Terbanyak: Baljit Singh Sarjab Singh – PDRM (9 gol)
Fairplay: PDRM
WANITA
Juara: Kuala Lumpur
Naib Juara: Selangor
Ketiga: ATM dan Pulau Pinang (berkongsi kemenangan)
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Nor Azlin Sumantri (Kuala Lumpur)
Penjaring Terbanyak: Nuramirah Shakirah Zulkifli – PDRM (8 gol)
Fairplay: Selangor

Komen anda