Piya sedia tinggalkan Perlis, kembali sarung jersi TRW

12737
FOTO: NORTHERNLIONS PERLIS
Oleh: RODLY FADLY
Bekas kapten Kelantan, Badhri Radzi sedia mengetepikan perbalahannya dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berhubung tunggakan gaji dan sanggup kembali menyarung jersi The Red Warriors (TRW) jika kudratnya masih diperlukan.

Badhri atau Piya yang kini mewakili Perlis berkata, hatinya masih bersama pasukan negeri kelahirannya itu walaupun sudah disisihkan sejak pertengahan musim lalu sehingga terpaksa membawa diri ke utara tanah air.

“Saya tidak pernah buang The Red Warriors, sebaliknya mereka yang menyingkirkan saya. Memang saya sangat sayangkan pasukan itu. Saya dilahirkan, dibesarkan dan membina karier bola sepak serta menikmati pelbagai kejayaan di Kelantan.

“Kalau boleh mahu mengakhiri karier di sana. Atas sebab itu, jika pasukan negeri atau mana-mana kelab di Kelantan menawarkan saya untuk mewakili mereka, saya tidak akan menolak,” ujarnya ketika dihubungi.

Piya mengulas spekulasi yang mengaitkan dirinya serta beberapa pemain Perlis dengan Kelantan ekoran isu tunggakan gaji yang mereka hadapi bersama Singa Utara ketika ini. Selain TRW, dia turut dikaitkan dengan kelab Kelantan United.

Begitupun, Piya mengakui belum ada sebarang perbincangan rasmi baik dengan Kafa mahupun Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd, syarikat yang dilantik untuk mengendalikan pasukan itu memandangkan dia masih terikat dengan Perlis.

“Seorang pegawai daripada KRW melawat saya semasa dimasukkan ke hospital di Kota Bharu baru-baru ini tetapi ia lebih kepada ziarah biasa dan kami hanya sembang-sembang kosong, tidak ada tawaran atau perbincangan kerana mereka tahu saya masih ada kontrak dengan Perlis.

“Namun, mengikut perjanjian dengan Perlis, saya boleh menamatkan kontrak jika mereka gagal membayar gaji dua bulan berturut-turut. Kalau mengikut perjanjian, saya sudah boleh berbuat begitu kerana tarikh akhir mereka perlu membayar gaji adalah pada 7 Februari lalu.

“Namun, saya akan menunggu sehingga Jumaat ini iaitu hari perlawanan menentang JDT II, jika selepas itu mereka masih gagal membayar gaji, ia akan menjadi perlawanan terakhir saya bersama Perlis.

“Saya dengar beberapa orang pemain juga akan mengambil langkah sama. Apa yang lebih mengecewakan, presiden (Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie) tidak pernah memanggil kami untuk berbincang mengenai isu ini, sebaliknya hanya menyampaikan melalui jurulatih,” dedah Piya.

Mengenai perbalahannya dengan Kafa berhubung masalah gaji musim lalu, Piya berkata, rundingan masih berlangsung untuk menyelesaikan tunggakan gaji selama lapan bulan itu dan menunjukkan tanda positif.

“Memang betul dulu saya ada baloh (gaduh) dengan Kafa mengenai gaji tapi sekarang semua urusan pasukan di bawah KRW. Kalau saya balik main semula dengan Kelantan pun, gaji saya akan dibayar oleh KRW bukan Kafa. Malah, syarikat itu juga berjanji untuk menyelesaikan tunggakan gaji saya musim lalu,” jelasnya.

Komen anda