PKBM sedia selamatkan maruah LTdL daripada tercalar

157
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bersedia menyelamatkan kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi 2019 (LTdL 2019) sekiranya pengurus acara yang dilantik, Human Vogaye berkeras mahu menukar tarikh penganjurannya.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, keputusan tersebut dicapai selepas pihaknya mengadakan Mesyuarat Exco PKBM semalam bagi membincangkan perkembangan terkini dan kelancaran pengurusan LTdL 2019.

“Mesyuarat Exco hari ini (semalam) putuskan Human Voyage perlu ikut proses permohonan untuk tukar tarikh penganjuran iaitu melalui PKBM dipanjangkan kepada UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) dengan kelulusan ACC (Konfederasi Berbasikal Asia).

“Namun, setakat ini kami belum terima permohonan rasmi daripada Human Voyage untuk pinda tarikh (penganjuran LTdL 2019). Kami hanya dengar (tentang cadangan pinda tarikh) menerusi media massa dan perbualan sahaja.

“Bagaimanapun, PKBM mengambil langkah proaktif kerana masa sudah suntuk. Mesyuarat Exco telah berbincang tentang perjalanan LTdL 2019. Dalam hal ini, kami sebulat suara bersetuju atas beberapa perkara.

“Menerusi kalendar yang dikeluarkan UCI bagi bulan April, (Kejohanan Lumba Basikal Asia) ACC 2019 akan diadakan pada 23 hingga 28 April. Malaysia pula akan anjur Kejohanan BMX Asia 2019 mulai 12 hingga 14 April.

“Tour de Iskandar bakal bermula 17 April dan berakhir 21 April manakala Piala Ketua Menteri Melaka diadakan selama dua hari bermula 27 April. Pada Mei, kita akan menyambut bulan Ramadan diikuti Syawal pada Jun.

“Tour de France pula akan diadakan Julai depan. Jadi bagaimanakah Human Vogaye boleh mencari tarikh sesuai untuk menukar kalendar sedia ada,” kata Abu Samah dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM semalam.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat ACC memberitahu, secara tradisi LTdL diadakan pada Februari atau Mac setiap tahun bagi menarik pasukan Eropah berlumba di Malaysia.

“LTdL ialah sebuah kejohanan berstatus hors-classe yang diadakan pada musim sejuk di Eropah dan sebelum ‘racing season’ bermula di benua tersebut. Dalam hal ini, semua syarikat yang masuk tender KBS telah sedia maklum tentang tarikh tersebut.

“Dalam hal ini, Human Vogaye perlu bertanggungjawab mematuhi tarikh yang ditetapkan iaitu pada 24 hingga 31 Mac,” katanya sambil menegaskan keputusan tersebut selari dengan keputusan Mesyuarat Penyelarasan Antara KBS, PKBM dan Human Vogaye pada 29 Januari lalu.

Merujuk kepada kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tentang pertembungan liputan media LTdL dan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA 19) , beliau menegaskan dua acara tersebut ialah dua entiti berbeza.

“Tarikh LTDL 2019 telah dikeluarkan mengikut kalendar UCI. Kebanyakan pasukan telah membuat persediaan dan persiapan sesuai dengan status perlumbaan ini selaku kejohanan hors-classe. Kita tak boleh sewenang-wenangnya tukar tarikh,” tegasnya.

Sehubungan itu, Abu Samah berkata, pengurusan Human Vogaye harus bertanggungjawab sekiranya LTDL tidak dianjurkan pada waktu yang ditetapkan sehingga menyebabkan perlumbaan itu hilang status hors-classe.

“Dalam hal ini, ia boleh dianggap berlaku kerana kegagalan dan kecuaian Human Voyage. Justeru, PKBM bersedia selamatkan LTdL sekiranva Human Vovaqe tidak dapat anjurkan LTdL 2019 pada tarikh yanq ditetapkan.

“Mesyuarat Exco PKBM juga putuskan bahawa Human Voyage harus memaklumkan keputusan ini pada 14 Februari 2019 kepada KBS dan PKBM kerana masa yang suntuk,” katanya.

Komen anda