BEKAS penyerang Manchester United, Louis Saha menyifatkan Paul Pogba terlalu ego dengan kritikan terbukanya kepada pengurus United yang dilihat bertujuan ingin menjatuhkan Jose Mourinho.

Malah insiden itu juga menyebabkan perbalahan di antara Pogba dan Mourinho terus berpanjangan dan sentiasa menjadi perhatian di sebalik prestasi buruk United tatkala pemain tengah Perancis itu berpendapat pasukannya harus terus menyerang dalam setiap perlawanan.

Begitupun pemain kelahiran Perancis itu berpendapat bahawa Pogba sepatutnya memastikan pendapatnya itu hanya untuk dirinya sendiri.

“Saya rasa dia melakukannya dengan niat dan saya tidak fikir itu sesuatu yang betul. Ia adalah satu komunikasi yang salah kerana memberikan tekanan kepada pengurus. Sepatutnya perkara itu dilakukan di dalam bilik persalinan dengan pengurus anda.

“Dia (Pogba) perlu sedar bahawa orang ramai akan mempersoalkannya, jadi ia tidak perlu dilakukan. Ini pendapat saya dan saya akan memberitahunya.

“Saya akan berkata kepada Pogba ‘tiada apa yang perlu diperkatakan lagi kerana anda bukan seorang pengurus’.” ujarnya.

Saha turut menambah: “Kadangkala saya melihat egonya terlalu besar dan sebagai peminat saya rasa ia mengganggu. Saya fikir terdapat beberapa perkara yang tidak perlu dilakukan oleh pemain.

“Perkara sebegitu akan membawa kepada sesuatu yang lebih buruk dan mengharapkan perkara ini dapat diperbetulkan semula,” katanya.

United akan berdepan pendahulu bersama, Chelsea, dalam aksi Liga Perdana Inggeris selepas aksi saingan antarabangsa.

Komen anda