Puchong Utd kekal penguasaan, Kepong BC berputih mata lagi

411
Puchong United muncul juara SS Purple League dua musim berturut-turut apabila menang dalam aksi final dengan menewaskan Kepong BC 10-6 di Arena Of Stars, Resorts World Genting.

KELAB Badminton (BC) Puchong United gah mempertahankan kejuaraan SS Purple League (SSPL) 2018/19 apabila muncul juara setelah menewaskan Kepong BC 10-6 dalam aksi final di Arena Of Stars, Resorts World Genting hari ini.

Turun tanpa beberapa pemain utama seperti Goh Liu Ying, Ong Yew Sin, Liew Daren dan beberapa lagi pemain tidak menghalang Puchong United BC beraksi mantap mengekalkan kejuaraan mereka dalam SSPL musim ini.

Bagaimanapun, Kepong BC terlebih dahulu garang memulakan langkah dalam pentas final dengan pemainnya Soong Joo Ven membenam pemain Puchong United BC, Goh Giap Chin 3-1 (8-11, 11-6, 11-6, 11-10).

Tersentak dengan kekalahan dalam acara awal, Puchong United bangkit semula menerusi perseorangan wanitanya, Deng Xuan yang menang mudah 3-0 (11-10, 11-10, 11-6) ke atas Qin Jin Jing.

Dominasi Puchong United berterusan dalam acara beregu lelaki kali ini giliran pemainnya, Mak Hee Chun- Tan Boon Heong menumbangkan gandingan Mads Conrad Petersen- Rian Agung Saputro 3-1 (5-11, 11-9, 11-10, 11-10) bagi mendahului kedudukan 7-4.

Set beregu campuran selepas itu penuh mendebarkan memandangkan tiga set kemenangan akan membawa Puchong United mendakap kejuaraan dan Kepong BC pula memerlukan kemenangan untuk mengejar kedudukan.

Turun dalam aksi penting, beregu campuran Puchong United, Eom Hyewon- Tang Chun Man berjaya menyerap tekanan biarpun mereka ketinggalan dua set pada satu ketika apabila menang 3-2 (11-7, 10-11, 10-11, 11-10, 2-1) dalam 30 minit masa perlawanan mengecewakan Cheah Yee See- Ricky Karandasuwardi dan keseluruhan pasukan Kepong BC untuk muncul juara SSPL musim ini.

Mengulas mengenai Puchong United, Pengurus Pasukan, Irina Inozemtseva berkata, “Saya rasa setiap orang di dalam stadium dan di rumah dapat menyaksikan aksi final yang penuh mendebarkan ini. Secara keseluruhan musim ini, pasukan saya telah melakukan dengan bersungguh-sungguh sehingga kita muncul juara.

“Sebelum liga bermula, saya sudah katakan juara datang dan pergi namun legenda akan meninggalkan legasi. Itulah matlamat kami di Puchong United BC,” kata Irina

Untuk rekod, setelah lima musim SSPL, Muar City BC pernah menjulang kejuaraan dua kali iaitu pada musim 2014/15 dan 2015/16, Petaling Jaya BC pula muncul juara untuk musim 2016/17 manakala Puchong United pada musim lepas, 2017/18.

Hadir menyaksikan aksi akhir SSPL dan juga turut menyampaikan piala, medal serta replika cek kepada pemenang adalah Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Steven Sim Chee Keong.

Juara SSPL 2018/19 menerima piala dan hadiah wang berjumlah RM520,000. Naib juara pula menerima RM265,000, ketiga RM185,000, keempat RM160,000, kelima RM130,000, keenam RM110,000, ketujuh RM70,000 dan kelapan RM60,000.

Naib juara tahun lalu, Kepong BC masih mengekalkan status dua terbaik di saingan SS Purple League 2018/19.

 

KEDUDUKAN PENUH SSPL 2018/19

Juara: Puchong United BC
Naib Juara: Kepong BC
Ketiga: Petaling BC
Keempat: Ampang Jaya BC
Kelima: Tebrau City BC
Keenam: Serdang BC
Ketujuh: Bukit Mertajam All Stars BC
Kelapan: Bandar Maharani BC

 

Komen anda