PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) terus gagal dalam usaha mendapatkan lesen kebangsaan dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) apabila rayuannya ditolak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

 

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, keputusan itu kekal selepas Badan Rayuan mendapati badan induk bola sepak Kelantan itu gagal memenuhi syarat kewangan yang ditetapkan.

 

“Badan Rayuan FAM telah mengkaji semula rayuan yang dibuat oleh Kafa pada 24 Oktober 2018 dan telah mengekalkan keputusan yang dibuat oleh First Instance Body (FIB) pada 10 Oktober 2018. Kafa gagal memenuhi syarat kewangan yang ditetapkan di bawah peraturan perlesenan.

 

“Mereka bagaimanapun telah memenuhi lima kriteria lain iaitu infrastruktur, kakitangan dan pentadbiran, perniagaan, undang-undang dan sukan,” katanya menerusi satu kenyataan.

 

Tambahnya, selain Kafa, Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) turut terpalit nasib sama, namun mereka diberi talian hayat untuk memdapatkan lesen kebangsaan secara bersyarat.

 

“KLFA diberikan lesen Kebangsaan dengan sanksi tetapi FIB telah menolak permohonan lesen AFC mereka.

 

“Saya menasihati semua pasukan untuk lebih berhati-hati pada masa depan dalam mematuhi tarikh akhir dan butir-butir mengenai pematuhan syarat yang dinyatakan dalam peraturan,” katanya.

 

Komen anda