Repsol Honda 2019 lebih garang

276

PASUKAN Repsol Honda secara rasminya melancarkan jentera baru yang akan digunakan dalam MotoGP 2019, selain menyaksikan buat pertama kalinya Jorge Lorenzo muncul dalam seragam pasukan.

Tahun lalu majli pelancaran motosikal Repsol Honda berlangsung di Indonesia, manakala musim ini ia dijalankan di Madrid, kelmarin sekali gus menjadi detik istimewa kerana ia juga merupakan pengenalan rasmi pertama Jorge Lorenzo sebagai pelumba pasukan.

Tiada banyak perbezaan yang dapat dilihat pada jentera RC213V yang dipamerkan dalam pelancaran itu cuma perubahan terbesar sudah tentunya nombor motosikal berubah dari 23 sebelum ini ke 99 iaitu yang menjadi kebiasaan digunakan Lorenzo.

Paparan RC213V masih dikuasai campuran warna jingga, putih dan merah dan tulisan-tulisan Repsol masih dipaparkan dalam saiz yang besar yang turut meraikan 20 tahun Repsol dan Honda bersama di Grand Prix pada musim 2019.

Pada pelancaran itu bekas pelumba Repsol Honda, Mick Doohan dan Alex Criville turut hadir sebagai antara pelumba yang pernah menjulang pasukan meraih kejuaraan dunia kelas utama yang sehingga kini masih dinamakan 500 cc.

Marc Marquez dan Lorenzo membawa aura tersendiri bersama pasukan Repsol Honda di mana mereka adalah satu-satunya pelumba yang berjaya memenangi gelaran dunia sejak 2012. Di semua kelas, Marquez merangkul tujuh gelaran juara dunia manakala Lorenzo mengumpul lima gelaran.

“Pasukan ini sentiasa mencari kesempurnaan, bagaimanapun Marc tidak perlu diperkenalkan lagi. Manakala mengenai Jorge, hakikat bahawa dia menerima cabaran ini (bergabung dengan Honda) menunjukkan dia juara yang benar, “kata Presiden HRC, Tetsuhiro Kuwata.

Komen anda