HANYA tiga nama lama dikekalkan dalam Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) selepas berakhirnya satu kongres luar biasa (EGM) di Hotel Nouvelle malam tadi.

 

EGM yang berlangsung itu telah mendapat persetujuan 52 ahli gabungan dan dikatakan telah menepati artikel 34.1 statut perlembagaan FAS.

 

Artikel itu menyebut EGM berkenaan memerlukan 50 peratus (tambah 1) sokongan daripada ahli gabungan untuk mengesahkan chorum EGM tersebut.

 

“Dengan 52 sokongan daripada 96 ahli gabungan yang berdaftar di bawah FAS, ia jelas sudah cukup untuk mengesahkan kongres luar biasa ini,” kata pemerhati yang dilantik memantau EGM pada malam ini.

 

Selepas bermesyuarat, Presiden FAS, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah kekal menjadi presiden selepas baginda sebulat suara dilantik semula ahli gabungan untuk menjawat jawatan tertinggi badan induk bola sepak Selangor itu.

 

Selain Tengku Amir dua lagi nama lama yang dilantik semula dalam FAS ialah Datuk Ariffin Abdul Hamid dan Omar Ali yang dilantik sebagai Naib Presiden, sementara dua lagi jawatan naib presiden dipegang muka baharu iaitu Hamdan Hashim dan Roslin Shariff.

 

Sementara itu, bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Muhammad Nasir Hamzah pula dilantik sebagai Timbalan Presiden FAS yang baharu.

 

Untuk jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif seramai 13 nama dipilih dan kesemua mereka menang tanpa bertanding.

Komen anda