PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) mengumumkan peletakan jawatan tiga ahli tertinggi badan induk itu pada mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif yang berlangsung 3 Julai lalu.

Datuk Lim Thean Sheang dan Nizam Sani selaku Naib Presiden FAS sebelum ini memilih untuk meletakkan jawatan atas sebab komitmen dalam syarikat masing-masing, manakala Rosman Mohd Ibrahim selaku Setiausaha Agung FAS turut meletak jawatan tanpa menyatakan sebab-sebabnya.

“DYTM Presiden dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif telah menerima peletakan jawatan atuk Lim Thean Sheang dan Encik Nizam Bin Sani, serta Encik Rosman dan merakamkan penghargaan terhadap sumbangan mereka di dalam FAS,” tulis satu kenyataan daripada Jawatankuasa Eksekutif FAS.

Selain tiga ahli tertinggi ini, Bendahari FAS, Datuk S Sivasundram turut mengumumkan beliau akan bersara selepas tamat musim 2018 setelah berkhidmat selama 21 tahun dalam FAS.

Pada masa sama, mesyuarat eksekutif julung kali itu turut mengumumkan pengganti jawatan naib presiden dan setiusaha agung yang ditinggalkan ini.

“DYTM Presiden dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif telah melantik Encik Mohd Izhar Moslim dan Dr Johan Kamal Hamidon untuk mengisi kekosongan jawatan-jawatan Naib Presiden.

“DYTM Presiden dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif juga telah melantik Dr Johan Bin Kamal Hamidon sebagai Setiausaha Agung FAS yang baharu untuk penggal 2017-2021,” katanya.

Johan (kiri) dan Izhar (kanan) menggantikan posisi yang dikosongkan.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut mengumumkan satu sesi ‘workshop’ berkenaan dengan hala tuju FAS akan diadakan dari 4 hingga 6 Ogos 2018 untuk merangka dan memperincikan initiatif-initiatif pembaharuan yang bakal dijalankan oleh FAS.

Jelasnya, individu-individu yang akan dijemput untuk terlibat dalam sesi ‘workshop’ ini terdiri daripada ahli-ahli FAS dan juga pemegang taruh luaran yang diharap dapat menyumbangkan idea-idea dan input terhadap initiatif pembaharuan FAS.

-end-

Komen anda