Sathianathan bakal ketepikan Antonio German..?

3257
FOTO: MFL
Ketua Jurulatih Selangor, B Sathianathan tidak menolak kemungkinan akan mencuba gandingan baharu di barisan serangan pada aksi menentang ‘pasukan adik’ – PKNS FC di Stadium Shah Alam minggu ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan gandingan baharu itu bukanlah langkah terdesak skuad Gergasi Merah untuk mencatat kemenangan pertama Liga Super, mahupun beliau tidak berpuas hati dengan prestasi penyerang import baharu, Antonio German.

Sebaliknya, langkah itu perlu memandangkan situasi kesihatan German belum cukup memuaskan kerana demam panas sejak minggu lalu.

“Saya mungkin cuba gandingan baharu kerana German masih belum pulih sepenuhnya. Sebenarnya dia demam semasa aksi menentang PJ City tempoh hari lagi tetapi dia buat kesilapan kerana tak beritahu dia demam dan nak sangat main untuk pasukan. Sebab itu prestasinya kurang menyerlah.

“Selepas itu doktor sudah sahkan dia demam panas dan keadaan dia sekarang belum berapa baik. Apa pun, kita perlu tunggu esok (hari ini) untuk tahu apa tindakan selanjutnya.

“Selain German, bek tengah, Taylor Regan juga masih cedera dan mungkin tidak diturunkan tetapi di bahagian itu saya tidak risau kerana saya ada Latiff Suhaimi untuk mengisi kekosongan,” katanya ketika dihubungi.

Selepas hanya sekadar seri dengan dua pasukan ‘wajib menang’ – Felda United dan PJ City sebelum ini, Sathianathan mengakui ia bukan mudah kerana PKNS mempunyai sedikit kelebihan.

“PKNS ada ramai pemain lama dalam skuad musim ini tetapi Selangor kita hanya ada tiga pemain lama dan ramai muka baharu. Jadi ia ambil masa sikitlah.

“Saya sedar kita perlu bangkit selepas dua kali seri dan persembahan kurang meyakinkan.Janji saya ialah kami akan lebih baik dan bangkit ke prestasi sebenarnya bertemu PKNS nanti,” katanya.

Komen anda