‘Saya bukan pelumba pilihan’

39
Lorenzo tidak meletakkan sasaran tinggi musim ini.
Pelumba Repsol Honda, Jorge Lorenzo me­ngakui dia bukan salah seorang pelumba pilihan bagi merangkul kejuaraan dunia MotoGP musim ini.
Sebaliknya, Lorenzo yang juga juara dunia tiga kali menjangkakan empat pe­lumba yang akan bersaing memburu mahkota gelaran juara pada edisi kali ini.
Lorenzo berkata, dia masih belum mendapat ke­serasian menunggang jentera RC213V walaupun men­catatkan keputusan positif pada sesi ujian tahun lalu.
Atas faktor itu, Lorenzo meramalkan bekas rakan sepasukannya di Ducati, Andrea Dovizioso serta duo Yamaha, Maverick Vinales dan Valentino Rossi mampu memberikan ancaman besar kepada penyandang juara yang juga rakan sepasukannya, Marc Marquez musim ini.
“Selalu kita katakan, tiada yang mustahil dalam perlumbaan MotoGP tetapi sudah tentu, saya harus realistik dan sedar dengan kemampuan diri sendiri.
“Saya tidak rasa disebabkan kurang kepantasan, kurang bakat, kurang motivasi atau kurang kerja keras (kita tidak mampu memberikan saingan), tetapi ia lebih kepada pengalaman.
“Hanya dengan men­jalani tiga atau empat sesi ujian, ia tidak cukup untuk mengetahui dengan sebaik­nya keupayaan sesebuah motosikal itu.
“Buat masa ini, sasaran saya lebih kepada memperbaiki corak tunggangan. Saya masih baru bersama pasukan dan saya juga dalam proses pemulihan, jadi saya me­merlukan sedikit masa lagi,” jelasnya.
Lorenzo memberitahu, dia tidak mahu meletakkan sebarang harapan tinggi dalam beberapa perlumbaan awal musim ini.
“Jika saya mampu me­menangi perlumbaan, sudah pasti ia cukup baik dan siapa tahu, jika ada lagi keputusan positif yang dapat dicapai, kami mampu bersaing merebut kejuaraan dunia.
“Namun, sudah tentu buat masa ini saya bukan salah seorang pelumba pilihan. Ada beberapa pelumba lain lagi dan sudah tentu Marc menjadi pilihan utama. Dia dijangka bersaing dengan Dovizioso, Valentino serta Vinales,” ujar Lorenzo.
Pada sesi ujian rasmi pramusim di Litar Antarabangsa Sepang minggu lalu, Lorenzo tidak mengambil bahagian kerana baru menjalani pembedahan tangan.
Lorenzo mengalami kecederaan patah pergelangan tangan ketika menjalani sesi latihan di Itali bulan lalu.

Komen anda