‘Saya sangat kecewa…….,”

238
Pengendali Skuad Bawah 22 Tahun, Datuk Ong Kim Swee ternyata berang sikap tidak profesional jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Tengku Hazman Raja Hassan yang gagal memberikan sebarang maklum balas dalam usaha mendapatkan pemainnya menyertai kem latihan pusat  menjelang Kejuaraan B-22 AFF 2019 di Phnom Penh, Kemboja dari 17 hingga 26 Februari.
Selepas lima pemain tidak mendapat pelepasan untuk senarai awal 26, Kim Swee membuat keputusan memanggil tiga pemain baru iaitu Muhamad Danish Haziq Saipul dari Negeri Sembilan, K. Thivendran (Petaling Jaya City FC) sementara TFC II terus diam membisu tanpa sebarang maklum balas.
Jelasnya, sikap tidak profesional TFC II berhubung isu ini amat mengecewakan dirinya kerana apa yang dilakukan adalah demi kepentingan pemain tersebut dan untuk negara.
“Dua pemain baharu telah dipanggil menyertai kem latihan iaitu K Thivendran dan Muhamad Danish walaupun tiga pemain dipanggil tetapi hanya dua dilepaskan majikan.
“Seorang pemain TFCII tidak dilepaskan, hubungan kami melalui telefon juga terhenti dimana tiada balasan sama ada pemain tersebut dilepaskan atau sebaliknya.
“Saya nyata kecewa dengan sikap tidak profesional ini, jika tidak melepaskan pemain maklum kepada kami dan bertindaklah secara profesional, pemilihan ini penting untuk pemain tersebut dan masa depannya, bukan kepentingan kepada saya tetapi untuk negara,” jelasnya ditemui pada seisi latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, semalam.
Mengulas mengenai isu pemain yang tidak dilepaskan majikan dan kemungkinan tidak akan memanggil pemain tersebut pada masa akan datang, Kim Swee nyata mempunyai pandangan dan pendekatan berbeza.
“Saya telah melalui isu ini banyak kali, seperti saya katakan apabila mereka tidak lepaskan pemain saya tak pernah melenting dan marah, tetapi jika tidak jawab dan layan telefon, ini menunjukkan sikap tidak profesional mereka.
“Bukan saya marah mereka tak lepaskan pemain tetapi kita perlu profesional, maklum sahaja kepada saya,” tegasnya.
Situasi ini nyata menyukarkan persiapan B22 tahun negara memandangkan sebelum ini Muhammad Danial Amier Norhisham, Muhammad Zahril Azri (Felda United), Mohd Faisal Abdul Halim (Pahang), Muhammad Syahmi Safari (Selangor) dan Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam (Kedah) antara beberapa pemain yang tidak dilepaskan bagi menjalani latihan pusat yang bermula, Isnin lalu.

Komen anda