AHLI gabungan dalam Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) digesa agar menerima segala pembaharuan dalam badan induk itu bagi menjadikan pasukan Selangor kembali kompetitif dalam Liga Malaysia (Liga-M).

Editor Sukan Sinar yang juga pemerhati bola sepak tempatan, Izahar Atan berkata kemelut yang terjadi sekarang amat menyedihkan terutamanya dalam era bola sepak moden seperti hari ini.

Katanya, segelintir ahli gabungan yang cuba mencetus tsunami dalam FAS seolah-olah menunjukkan mereka tidak mahukan pembaharuan dan kemajuan, sebaliknya ingin menarik kembali pasukan Selangor jatuh ke bawah.

“Sedang banyak pasukan mahukan pembaharuan dalam pengurusan, mereka-mereka ini (ahli gabungan) seolah-olah mahu melihat Selangor kembali ke belakang.

“Sepatutnya mereka perlu ada semangat untuk melihat Red Giants terus maju dan memberi saingan hebat dalam liga. Takkanlah kita mahu melihat satu atau dua pasukan sahaja yang kompetitif?

“Kalau benar mereka sayangkan pasukan ini, hentikanlah semuanya. Dari kaca mata media, saya melihat jika isu ini tidak selesai, sesuatu yang tidak sihat akan terjadi kepada FAS,” katanya.

Mengulas lanjut pembaharuan yang telah dilakukan FAS baharu, Izahar percaya gandingan muka baharu dan lama ini telah melakukan tugas dengan cemerlang dalam tempoh tiga bulan pertama ini.

“Baru dua, tiga bulan tetapi mereka telah melakukan tugas dengan efisien. Kenapa perlu timbul rasa tidak puas hati pun saya tak faham.

“Mereka perlu ingat, jika mereka menolak muka-muka baharu ini dalam FAS, mereka juga seperti menolak Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah sebagai presiden,” katanya lagi.

Komen anda