Sepuluh muka baharu perkuat TFC

493

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengumumkan senarai sepuluh pemain baharu dalam memperkuatkan pasukan Terengganu FC (TFC) bagi bagi menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Antara muka baharu terbabit termasuklah dua tonggak Felda United, Ahmad Syamim Yahaya dan Muhamad Khairu Azrin Khazali; tiga pemain Negeri Sembilan, Muhamad Ilham Amirullah, Mohd Khairul Izuan Rosli dan Khairul Anwar Shahruddin serta Muhammad Azalinullah Alias (PJ Rangers).

Manakala bakinya merupakan pemain daripada skuad TFC II yang dinaikan pangkat bersama skuad utama melibatkan Mohd Haidhir Suhaini, Muhammad Mohd Fauzi dan Muhamad Shahrin Sapien serta penjaga gol TFC III, Mohamad Shafawi Mohamad untuk memperkuatkan pasukan TFC musim depan.

Timbalan Presidennya, Hishamuddin Abdul Karim berkata, persiapan awal tersebut dilihat mampu memberi impak positif kepada pengendali, Irfan Bakti Abu Salim, dalam merencana strategi terbaik buat skuad Penyu.

Hishamuddin mengakui cabaran menanti TFC pada musim depan pastinya lebih mencabar dengan prestasi 2018 yang memberangsangkan selaku naib juara Piala Malaysia dan persiapan awal perlu diatur dengan sebaik mungkin.

"Jadi kita beri kebebasan kepada ketua jurulatih, Irfan Bakti untuk mempersiapkan pasukan termasuk mengadakan siri pra musim sama ada di dalam atau luar negara.

"Apa yang pasti kami mahu TFC mampu melayakkan diri ke saingan Piala AFC ataupun Liga Juara Juara Asia (ACL) selain meraih trofi ke bumi Terengganu musim depan," katanya pada majlis menandatangani kontrak pemain baharu di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Hishamuddin turut memaklumkan persiapan bagi pasukan TFC II – TFC IV telah melakukan persiapan dengan 90 peratus pembentukannya sudah selesai dengan mengambil kira pelbagai pandangan dalam mengekalkan prestasi cemerlang musim ini.

Komen anda