Tengku Hazman kecewa sikap ‘double standard’ Kim Swee ke atas TFC II

1443
FOTO: TFC
PENGENDALI Terengganu FC II (TFC II), Tengku Hazman Raja Hassan menganggap tindakan Datuk Ong Kim Swee mengeluarkan kenyataan kononnya pihaknya sengaja enggan melayan permintaan untuk melepaskan pertahanan kanan, Mohd Ridzuan Razali menyertai skuad Bawah 22 (B-22) kebangsaan sebagai tidak profesional.

Jelasnya, kenyataan tersebut dikeluarkan secara melulu memandangkan pihaknya sudah meminta tempoh untuk berbincang dengan pihak pengurusan terlebih dahulu.

“Sebelum ini saya telah dimaklumkan oleh pihak pengurusan telah menerima permohonan seorang pemain Muhammad Izzan Shahmi Mustaffa secara bersurat daripada FAM untuk melapor diri kepada Datuk Ong Kim Swee dan saya sebagai Ketua Jurulatih TFC II memberi pelepasan demi pasukan negara dan kerjaya pemain tersebut walaupun ianya merupakan salah seorang pemain di dalam perancangan yang memberi impak.

“Selepas itu, pada malam 10 Februari, saya dihubungi lagi untuk memohon kebenaran pelepasan Mohammad Ridzuan Mohd Razali untuk melapor diri melalui panggilan telefon dan Whatapps. Dalam masa yang sama saya memaklumkan juga untuk berbincang dengan pihak pengurusan sebagai majikan terlebih dahulu kerana pasukan masih dalam rehat selama dua hari selepas 8 Februari bertemu Selangor United. Amat sukar untuk berbincang menerusi telefon kerana melibatkan staff kejurulatihan. Saya bercadang akan berbincang selepas selesai latihan pada petang semalam dan akan memaklumkan segera kepada pasukan pengurusan Harimau Malaya B-22 negara.

“Bagaimapun sebelum sempat saya memberi maklum balas, Datuk Ong Kim Swee telah mengeluarkan kenyataan saya tidak memberi bekerjasama dan tidak melepaskan pemain. Ianya dilihat kurang wajar sebagai jurulatih berpengalaman kerana mempersalahkan saya sedangkan saya memohon tempoh untuk berbincang.

“Dakwaan saya tidak mengangkat panggilan telefon tu disebabkan saya sedang memandu dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu untuk latihan. Saya mengakui ada dua panggilan nombor tidak dikenali tidak terjawab dan saya tidak tahu pula nombor tersebut kepunyaan Penolong Jurulatih Datuk Ong Kim Swee. Kadang-kadang ada nombor yang tidak dikenali saya tidak jawab. Sebaiknya jika tidak diangkat tinggalkan mesej atau whataps sekurang-kurangnya saya tahu siapa yang menghubungi,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tengku Hazman turut mempersoalkan mengapa hanya namanya dan TFC II sahaja disebut sedangkan ada lima lagi pemain pasukan lain tidak dilepaskan pasukan masing-masing.

“Difahamkan 5 orang pemain lagi tidak dilepaskan pasukan mengapa tidak dipersoalkan profesionalisme jurulatih pasukan tersebut. Jika saya tidak memberi kerjasama, mengapa seorang pemain saya (Muhammad Izzan Shahmi) dilepaskan sedangkan ianya di dalam perancangan dalam memperkuatkan TFC II.

“Prosedur panggilan menyertai kem latihan atau pasukan kebangsaan perlu lebih sistematik walaupun panggilan tersebut hanya sebagai pemain tambahan. Di sini saya melihat cara komunikasi perlu lebih baik dan profesional agar tidak berlaku lagi isu sebegini yang akhirnya menimbulkan perselisihan faham dan merugikan kedua-dua pihak,” katanya lagi.

Bagaimanapun, dikesempatan sama Tengku Hazman turut mengesahkan beliau sedia melepaskan Muhammad Ridzuan, selain turut memohon maaf jika ada sebarang kesilapan teknikal mahu pun komunikasi daripada pihaknya sehingga menjejaskan perancangan skuad B-22.

Semalam, Kim Swee meluahkan rasa kecewa setelah barisan kejurulatihan TFC II tidak mengendahkan panggilan dan pesanan ringkas yang telah ditinggalkan tatkala status pelepasan Ridzuan masih belum pasti dan hal itu menimbulkan rasa tidak puas hati jurulatih itu.

Jika tidak mendapat pelepasan atau sebaliknya, pihak kejurulatihan TFC II perlu memberi jawapan, apatah lagi ia juga melibatkan misi skuad negara.

Komen anda