TERENGGANU mara ke final Divisyen Satu Piala Tun Abdul Razak walaupun terikat seri 1-1 dengan pencabar terdekat, Melaka pada aksi terakhir pusingan awal di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini, semalam.

Keputusan tersebut menyaksikan Terengganu muncul naib juara Divisyen Satu bakal membuat perhitungan dengan juara bertahan, Perak yang muncul juara kumpulan, pada aksi final di venue yang sama Sabtu ini.

Pada aksi itu,  Melaka terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi gol padang Amirrullah Zainol seawal minit keenam perlawanan sebelum Muhd Najmi Farizal Jazlan  menyamakan kedudukan setelah menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-18.

Perak pula mengekalkan rekod tanpa kalah setelah seri 3-3 berdepan Johor, manakala satu lagi aksi Divisyen Satu menyaksikan Pulau Pinang menang tipis 4-3 ke atas Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Pahang muncul juara Divisyen Dua setelah menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-0 hasil dua pukulan sudut penalti bekas pemain kebangsaan, Ahmad Kazamirul Nasaruddin pada minit ke-18 dan ke-45.

Selangor pula meleburkan rekod tanpa kalah Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas menang tipis 3-2, namun keputusan itu tidak menjejaskan kedudukan PDRM yang layak ke final berdepan Pahang setelah  melakar empat kemenangan berturut-turut sebelum ini.

Pertemuan Pahang dan PDRM akan berlangsung pada Sabtu ini di venue sama.

Satu lagi aksi Divisyen Dua menyaksikan Kelantan mencatat kemenangan sulung pada edisi ke-56 kejohanan setelah mengalahkan pasukan jemputan, Singapura 2-0.

Sementara itu, Pahang menamatkan saingan di tempat ketujuh kategori wanita setelah menang selesa 4-1 ke atas Melaka pada perlawanan penentuan tempat ketujuh/kelapan. – Bernama

Komen anda