ROSLIN SHARIFF

Kemelut dalaman Persatuan Bolasepak Selangor bertambah panas apabila kelab gabungan didakwa masih mahu meneruskan Kongres Luar Biasa (EGM) bagi memilih barisan exco baharu dalam usaha memantapkan pengurusan dan kelancaran pentadbiran persatuan.

Presiden Kelab Bolasepak Frenz United, Roslin Shariff berkata, walaupun FAS mengeluarkan kenyataan balas mendakwa terdapat ahli gabungan yang menarik balik tuntutan supaya EGM diadakan, namun majoriti ahli gabungan tidak berganjak dengan keputusan awal.

“Hanya kerana kenyataan media tempoh hari tidak disertakan dengan tandatangan, maka FAS menganggapnya sebagai surat layang semata-mata. Tuntutan agar Kongres Luar Biasa diadakan ini tiada sebarang niat jahat atau agenda tersembunyi, tiada sebarang usaha memecahbelahkan keharmonian sepertimana didakwa FAS.

“Sebaliknya kami mahu memperjuangkan peranan, hak dan kepentingan ahli gabungan yang seolah-olah telah ditindas dan diketepikan sepertimana telah dimaklumkan sebelum ini. Ini termasuklah tindakan membuang/memecat 55 individu wakil dari ahli gabungan daripada menganggotai Jawatankuasa Tetap dalam FAS tanpa sebab munasabah.

“Sebab itulah, EGM ini tetap perlu diadakan dan satu petisyen bertandatangan telah diserahkan kepada Setiausaha Agung FAS, Dr Johan (Kamal Hamidon) buat kali kedua pada 10 Oktober berhubung perkara ini. Persatuan Bolasepak Malaysia dan Pesuruhjaya Sukan juga telah dimaklumkan mengenainya,” dakwa Roslin dalam satu kenyataan terbaru pada masa sama juga menafikan namanya dipergunakan dan dijadikan boneka untuk membuat tuntutan agar EGM diadakan ini.

Roslin pada masa sama menegaskan kelab gabungan menyokong penuh misi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah mentransformasikan bola sepak Selangor, memberi jaminan baginda akan dilantik semula sebagai Presiden FAS pada EGM itu.

“Tiada sebarang percubaan untuk menyingkirkan baginda kerana kami percaya baginda dapat membawa kejayaan demi kejayaan gemilang kepada bola sepak Selangor.

“Apa yang kami mahu adalah rombakan dan pemilihan semula exco mengikut cara yang sah bagi penggal 2018 – 2022,” katanya.

Komen anda