PENGERUSI Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengkaji semula hukuman yang dikenakan ke atas Pahang.

TMJ berkata demikian selepas Pahang menjuarai Piala FA 2018 selepas menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru yang mana lazimnya kemenangan itu melayakkan skuad Tok Gajah mewakili negara dalam peringkat Asia iaitu Pusingan Kelayakan Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada tahun hadapan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan Pahang atas kejayaan menjuarai Piala FA 2018 semalam menewaskan Selangor. Lazimnya dengan kejayaan tersebut, pasukan Pahang layak untuk mewakili negara dalam peringkat Asia iaitu Pusingan Kelayakan Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada tahun hadapan.

“Oleh itu demi semangat kesukanan, saya berharap kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengkaji semula hukuman yang telah dikenakan terhadap pasukan Pahang sebelum ini,” katanya di laman rasmi JDT.

Sebelum ini, Pahang tidak dibenarkan memohon lesen AFC selama dua tahun daripada FAM susulan keengganan mereka mewakili negara ke saingan Piala AFC musim ini.

Pahang didapati melanggar Artikel 14 Statut FAM kerana ingkar arahan badan induk itu selepas enggan atau gagal mendaftarkan pasukan ke pertandingan AFC musim depan.

Larangan itu membabitkan permohonan tahun depan dan 2019 sekali gus menyaksikan skuad bimbingan Dollah Salleh mungkin tidak dapat mewakili negara ke ACL bagi musim 2019 dan 2020.

-end-

Komen anda