UniKL kenduri gol ke atas UiTM

175
UNIVERSITI Kuala Lumpur (UniKL) melakar rekod kemenangan terbesar dalam saingan Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 selepas menang bergaya 11-0 ke atas Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi, dekat sini.
Kemenangan ketujuh berturut-turut itu menyaksikan skuad kendalian Arul Selvaraj mengekalkan kedudukan teratas liga dengan kutipan 22 mata selepas lapan perlawanan.
Pesta gol UniKL bermula pada babak kedua perlawanan apabila mendahului enam gol tanpa balas pada suku ketiga perlawanan menerusi jaringan Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin pada minit ke-31, Muhammad Razie Abd Rahim (32’ dan 41’), Robert Huib Kemperman (34’), Muhamad Hafiz Zainol (37’) dan Rafizul Ezry Mustafa pada minit ke-39.
UniKL terus mengganas apabila meledak lima lagi gol menerusi Valentin Verga pada minit ke-47 dan minit ke-60, Martijn Peter Havenga (49’), Muhammad Marhan Mohd Jalil (51’) dan Robert Huib Kemperman pada minit ke-52.
Walaupun meraih kemenangan selesa, Arul jelas kecewa dengan prestasi pemainnya pada babak pertama perlawanan kerana gagal meraih sebarang jaringan.
“Suku pertama dan kedua kami terlalu memberi ruang kepada lawan, tapi bila bersambung separuh masa kedua, segala-galanya berubah. Pemain dapat jaringkan tiga gol pertama dengan pantas dan ia terus mengubah rentak permainan kami.
“Walaupun meraih kemenangan cukup meyakinkan hari ini, bagi saya kejuaraan liga masih belum terjamin menjadi milik kami. Saya tekankan kepada setiap pemain supaya kekal fokus pada setiap perlawanan. Apapun penentuan sebenar sama ada kami dapat memenangi kejuaraan liga adalah bergantung kepada perlawanan bertemu Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Ahad ini,” tegas Arul.
TNB pula terus mengejar kedudukan UniKL di persada liga setelah membenam pasukan tercorot, Nurinsafi/Hoki Kedah dengan keputusan 6-1 di Stadium Hoki Kuala Lumpur, di sini.
Enam gol TNB dijaringkan oleh Muhammad Firhan Ashaari pada minit ke-23 dan minit ke-46, Mohamad Akhimullah Anuar Esook (minit ke-30 dan minit ke-60), Muhammad Noor Firdaus Rosdi (minit ke-26) dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-55.
Dalam pada itu, TNB Thunderbolts meraih kemenangan sulung musim ini setelah mengejutkan juara Piala Sumbangsih, Kelab Hoki Terengganu (THT) dengan kemenangan 2-1 di Stadium Hoki Tun Razak, di sini.
Tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi gol padang Muhammad Hazzim Amin Hafidz pada minit ke-27, sebelum pemain import dari Korea Selatan, Jung Manjae menyamakan kedudukan untuk THT menerusi gol padang pada minit ke-41.
Muhamad Aminudin Mohd Zain muncul wira TNB Thunderbolts apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-51, sekali gus memastikan pasukan berkenaan mengutip tiga mata pertama pada musim ini. –  Bernama

Komen anda