Verstappen selesai jalani hukuman

30
Insiden panas yang menyaksikan Verstappen bertengkar dengan Ocon pada GP Brazil musim lalu.

Pemandu muda Red Bull, Max Verstappen secara rasmi telah tamat menjalani hukuman khidmat masyarakat apabila hadir pada Program Steward Antarabangsa Per­sekutuan Automobil Antara­bangsa (FIA) di Geneva Sabtu lalu.

Program tahunan yang bermula sejak tahun 2017 itu menghimpunkan steward-steward dari seluruh dunia bagi tujuan berkongsi pe­ngalaman dan tugas mereka.

FIA memaklumkan Verstappen hadir mengambil bahagian dalam sesi kajian kes interaktif bersama para pengawal perlumbaan itu minggu lalu.

“Kami melakukan tugasan di litar perlumbaan dan cuba memastikan perlumbaan berjalan dengan lancar. Jelas sekali steward perlumbaan menjalankan tugas sebaik mungkin untuk mencapai keputusan yang adil.

“Ia sesi pembelajaran yang bagus dan saya banyak belajar sepanjang dua hari di Marrakesh. Saya cukup teruja dengan pengalaman yang diperoleh dan lebih memahami peranan steward,” kata Verstappen.

Verstappen menghabiskan hari pertama daripada dua hari sesi khidmat masyarakat menyertai pegawai Formula E (perlumbaan elektrik) di Maghribi bulan lalu.

Kemudiannya, dia menyertai barisan panel perbincangan pertandingan di Geneva bersama juara Touring Dunia, Andy Priaulx, ketua pasukan rali dunia M-Sport, Richard Millener dan pengarah BMW Motorsport, Jens Marquardt.

Terdahulu, pemandu berusia 21 tahun dari Belanda itu dikenakan hukuman menjalani program khidmat masyarakat ekoran insiden pada Grand Prix (GP) Brazil di Litar Interlagos tahun lalu.

Pada perlumbaan ter­sebut, Verstappen yang pada suatu ketika mendahului saingan cuba memintas pemandu Force India, Esteban Ocon sehingga menyebabkan jentera yang dipandu kedua-dua pemandu itu berlanggar.

Akibat perlanggaran itu, Verstappen gagal mengawal jenteranya sehingga terbabas dan hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Insiden tersebut telah membuatkan Verstappen berang dan cuba bertindak agresif ke atas Ocon dengan menolaknya beberapa kali sebelum dileraikan staf FIA.

Komen anda