Wan Ho kejutkan Chen Long

577
Chong Wei bersama Wan Ho (kanan) selepas menyampaikan hadiah kejuaraan perseorangan lelaki Perodua Malaysia Masters 2019 kepada pemain Korea Selatan itu di Axiata Arena Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil hari ini. Wan Ho menumpaskan Chen Long (kiri) dari China dengan 21-17, 21-19.

PEMAIN nombor lima dunia, Son Wan Ho terpaksa berhempas pulas sebelum menjuarai gelaran perseorangan lelaki pada kejohanan badminton Malaysia Masters 2019 selepas menumpaskan pemain China Chen Long di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Pemain Korea Selatan itu mengambil masa kira-kira sejam sebelum menewaskan Chen Long yang menduduki ranking keempat dunia, dengan ‘straight set’, 21-17, 21-19.

“Pertemuan menentang Chen Long sentiasa sengit. Saya sangat gembira untuk menang hari ini dan muncul juara. Persekitaran di gelanggang ini sedikit mengelirukan. Saya hanya beraksi dengan corak permainan saya dan berharap dapat bermain dengan baik pada kejohanan akan datang,” katanya selepas perlawanan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei.

Sementara itu, pemain Thailand Ratchanok Intanon berjaya mempertahankan gelaran kategori perseorangan wanita apabila mengalahkan juara dunia, Carolina Marin dari Sepanyol; 21-9, 22-20.

“Saya beraksi seperti biasa hari ini. Menjuarai gelaran ini kali ini memberi inspirasi kepada saya menjadi pemain lebih baik pada masa akan datang. Tahun ini amat penting kepada kesemua pemain untuk layak beraksi pada Sukan Olimpik 2020.

“Saya perlu meraih keputusan yang baik pada setiap kejohanan, itu fokus saya,” katanya.

Dalam pada itu, beregu nombor satu dunia, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota dari Jepun menjuarai kategori beregu wanita selepas menumbangkan pasangan nombor empat dunia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu dari Indonesia; 18-21, 21-16 dan 21-16.

Sementara itu satu lagi pasangan Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino memenangi gelaran beregu campuran selepas mengatasi gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanchai dengan 21-18, 21-18. – Bernama

Komen anda