12 ahli gabungan MAKAF mahu majlis eksekutif serah dokumen pentadbiran

155
Laporan Sukan Sinar baru-baru ini.

DRAMA dalam Persekutuan Karate Do Malaysia (MAKAF) belum berakhir, dan kini dengan episod terbaru apabila, wakil kumpulan 12 ahli gabungan – P. Thiagu, menggesa Majlis Eksekutif MAKAF menyerahkan kesemua dokumen berkaitan pentadbiran badan induk itu.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Karate Do Putrajaya berkata, undi tidak percaya pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Ipoh minggu lalu, adalah sah mengikut perlembagaan, dan ahli majlis tertinggi yang diketuai presiden – Tan Sri Mohd Ali Rustam, kini telah kehilangan kuasa.

Katanya, status Majlis Eksekutif MAKAF telah terlucut serta merta, dengan kumpulan berhaluan kiri itu mendakwa mempunyai suara majoriti, ketika undi tidak percaya dibuat pada 9 Jun lalu.

Menurut Thiagu, kelangsungan atlet serta program melibatkan badan induk itu perlu diteruskan, justeru dokumen-dokumen berkaitan MAKAF perlu diserahkan serta merta, kepada jawatankuasa ‘ad hoc’ yang dipengerusikan, Datuk Clement Soo yang juga bekas setiausaha agung MAKAF.

“Daripada 22 kita ada 12 ahli gabungan yang menghadiri mesyuarat tergempar EGM ini. Jadilah majoriti di sebelah kita…ini memang EGM yang sah,” katanya dalam program Upsound terbitan Bernama News Channel (Astro 502).

“Kita pun dah hantar surat kepada MAKAF semalam, menyatakan dengan rela diri memberi segala dokumen-dokumen yang ada… sama ada dia bagi atau tak, tak tau la. Kami juga telah laksanakan tanggungjawab kami,” tambah beliau.

Thiagu berkata ahli gabungan berkenaan mengadakan undi tidak percaya, pada mesyuarat di Ipoh susulan pelbagai isu yang wujud mengenai sukan karate do sejak Februari tahun lalu.

Antara isu ialah dakwaan penyalahgunaan dana badan berkenaan, untuk kepentingan peribadi, kegagalan MAKAF membantu atlet negara yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, dan membuat pelaburan terhadap sebuah syarikat tanpa mendapat kelulusan majlis tertinggi persatuan.

Thiagu juga berkata, keputusan drastik MAKAF untuk membuang keanggotaan lima ahli gabungan badan induk itu juga tidak sah, memandangkan mereka kini sudah tidak mempunyai fungsi.

“Sebenarnya yang ini adalah merupakan taktik-taktik dia orang, di mana mereka nak mengurangkan majoriti kita daripada 12 kepada 7,” tambahnya.

Setiausaha Agung Makaf, Datuk Nur Azmi Ahmad pada Isnin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang dan membuang keanggotaan lima persatuan di bawahnya, yang dilihat tidak menunjukkan minat untuk terus bersama badan induk itu.

Lima persatuan itu adalah Persatuan Karate Goshin Ryu, Persatuan Karate Putrajaya, Persatuan Karate Pahang, Persatuan Karate Perak dan Persatuan Karate Pulau Pinang, yang didakwa menunjukkan sikap tidak menghormati presiden dan barisan exco MAKAF.

Komen anda