200 meter: Russel Alexandre hampir pecah rekod Khairul Hafiz

434
200 meter: Russel Alexander hampir pecah rekod Khairul Hafiz
PELARI berdarah campuran Malaysia-Australia, Russel Alexander Nasir Taib telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan untuk mengungguli acara 200m Kejohanan Siri Perisai QA : Perisai Norma Croker ‘2018-19  di Pusat Sukan dan Olahraga Queensland,  hari ini.
Atlet berusia 20 tahun kelahiran Kuala Lumpur itu yang mewakili pasukan Maroochy, mencatatkan masa 20.94 saat, iaitu hanya 0.04s perlahan berbanding rekod kebangsaan (20.90s) milik jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan yang dicatatkan pada Terbuka Malaysia 2017.
Catatan terbaik peribadinya itu menyaksikan Russel mengejutkan pelari tuan rumah, yang merupakan pemenang pingat gangsa acara 100m Sukan Olimpik Remaja 2014 dan juara Australia 2018, Trae Williams (20.98s) mewakili Qut Athletics Club, manakala rakan sekelabnya, Jack Geary (21.82s) meraih tempat ketiga.
Malah, catatan itu juga membolehkan Russel meraih kelayakan secara merit ke Kejohanan Olahraga Asia di Doha, Qatar pada April, Sukan Universiti Dunia di Napoli, Itali pada Julai serta Sukan Sea Filipina pada November.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim berkata beliau akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mendapatkan bantuan kepada pelari itu menggunakan dana sendiri.
“Russel seorang atlet yang amat berbakat, tidak dapat bertanding kerana kecederaan dan kini beliau kembali dengan aksi yang hebat. Beliau akan menyertai Grand Prix pertama Malaysia bermula 30-31 Mac ini di Bukit Jalil.
Beliau kini sedang belajar University of the Sunshine Coast, Queensland dengan impian untuk menjadi ahli psikologi sukan yang berkelayakan. Saya akan berbincang dengan MSN kerana beliau telah layak ke Sukan SEA,” katanya kepada Bernama.
Karim turut mengakui bahawa sudah tiba masanya untuk Raja Pecut Sukan SEA, Khairul Hafiz untuk mengembalikan prestasinya dengan kebangkitan yang ditunjukkan oleh Russel.
“Ya, Khairul perlu berwaspada … beliau perlu berhati-hati dengan Jonathan Nyepa dan Juara Sukma (Sukan Malaysia) 2018,  Muhammad Aqil Yasmin,” katanya. – Bernama
Foto: FB Russel Alexander Nasir Taib (gambar hiasan)

Komen anda