20,000 bendera hijau kuning semarakan sokong Kedah di final Piala FA

84

KEDAH menyemarakkan perlawanan akhir Piala FA dengan mengedarkan 20,000 bendera hijau kuning kepada penyokong untuk dikibar ketika bertemu Perak di Stadium Bukit Jalil, pada 27 Julai depan lapor ROSLINDA HASHIM.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan gabungan kelab penyokong Ultras Kedah termasuk penyokong Lang Merah untuk menyanyikan lagu keramat, ‘Biar jasa jadi kenangan’ sebelum perlawanan bermula.

Menurutnya, lagu itu bakal berkumandang dalam Stadium Bukit Jalil sebagai suntikan semangat agar pasukan mencipta kemenangan menewaskan Perak.

“Mengikut perancangan, lagu itu dinyanyikan selepas lagu Negaraku, disusuli bacaan doa. Saya harap semua penyokong Kedah yang hadir mengaminkan doa dan mengibar bendera yang diedarkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di Wisma Darul Aman hari ini.

Mukhriz berkata, sehingga kini, 176 buah bas telah memohon pembelian pakej tiket dan bas untuk menyaksikan perlawanan akhir itu.

Ditanya mengenai imbuhan yang bakal diberikan kepada pasukan sekiranya berjaya merangkul Piala FA tahun ini, katanya, habuan itu masih dirahsiakan.

“Imbuhan memang ada cuma masih dalam perbincangan. Kita akan berurusan terus dengan pasukan dan jumlahnya belum muktamad,” katanya.

Sementara itu ketika diminta mengulas khidmat pengadil Jepun untuk mengadili perlawanan akhir, katanya usaha itu mampu meningkatkan tahap profesionalisme bola sepak negara.

“Ini peningkatan yang dialukan, bukan kerana kita tak percaya kepada pengadil tempatan, sebaliknya ia mampu mengangkat kualiti permainan bola sepak negara, dan apa jua keputusan kelak harus diterima tanpa ragu,” katanya.

Menurutnya, KFA turut mengucapkan terima kasih kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang telah mengagihan geran tahunan kepada pasukan.

“Kami memahami kelewatan sebelum ini disebabkan ada penarikan penaja. Alhamdulillah, ini berita yang menyeronokkan semua,” katanya.

Mukhriz turut mengumumkan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah dijangka turut berangkat menyaksikan perlawanan akhir di Stadium Bukit Jalil.

CAPTION:
Mukhriz (tengah) diiringi kapten pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar (kiri) ketika memperkenalkan pemain selepas sesi fotografi bersama pasukan.

Komen anda