38 pasukan amatur intai gelaran ‘pembunuh gergasi’.

244

SERAMAI 38 kelab berstatus amatur kini memasang impian untuk menjadi ‘pembunuh gergasi’ dalam saingan Shopee Piala FA Malaysia 2019 pada pusingan kelayakan yang dijadualkan diadakan pada 16 dan 17 Februari nanti.

Penampilan kelab yang terdiri 14 pasukan daripada Liga M3 dan 24 pasukan Liga M4 kelab itu melakar sejarah tersendiri apabila buat julung kali menyaksikan penglibatan pasukan amatur terbesar di negara ini dan jumlah tersebut berbanding musim lalu iaitu hanya tujuh pasukan.

Impian tersebut kini menjadi nyata bagi Presiden Shah Alam Antlers, Ahmad Suffian Mamat yang mengakui ia menjadi impian buat kelab amatur untuk bertemu pasukan hebat daripada Liga Malaysia.

“Saya yakin semua kelab amatur memasang impian untuk bertemu kelab hebat seperti Johor Darul Ta’zim, Terengganu atau Selangor kerana kami sentiasa mahu bertemu kelab hebat dari unifi Liga Super dan Liga Premier.

“Apapun saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang mana kali ini kita dapat menyaksikan ramai penglibatan kelab amatur lebih ramai pada tahun ini.

“Saya percaya tindakan MFL ini akan memeriahkan lagi suasana bola sepak Malaysia,” jelasnya yang menyifatkan pasukannya mampu memberi saingan pada debut di Shopee Piala FA Malaysia 2019 bertemu Real Chukai FC pada perlawanan kelayakan.

Dalam perkembangan sama, Presiden Puchong Fuerza FC, Azrul Izwan Abdul Rahim turut senada apabila menyatakan kemeriahan Shopee Piala FA Malaysia 2019 lebih meriah selepas menyaksikan penglibatan 38 pasukan amatur.

Azrul yang menyaksikan Puchong Fuerza FC diundi bertemu Tun Razak FC dalam pusingan perlawanan kelayakan berkata, MFL terus memainkan peranan penting dalam memajukan lagi bola sepak tempatan.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada MFL dan saya percaya penglibatan kelab-kelab amatur ini memberikan satu semangat untuk mereka bergerak ke arah profesional.

“Saya yakin Shopee Piala FA Malaysia 2019 akan memberikan satu kelainan yang mana sudah pasti kami mahu bertemu dengan kelab-kelab hebat dari Liga Malaysia,” katanya.

Daripada undian pusingan kelayakan ini, 36 pasukan akan bermain perlawanan pusingan kelayakan yang melibatkan 18 jumlah perlawanan dan dua pasukan yang mendapat bye secara automatik layak ke pusingan pertama. Pasukan-pasukan yang akan diundi di posisi ganjil akan bermain sebagai pasukan tuan rumah manakala 20 pasukan akan layak ke perlawanan pusingan pertama.

Komen anda