Empat lagi kemenangan, Liverpool akan julang trofi EPL: Salah

493

HANYA empat kemenangan sahaja lagi diperlukan Liverpool bagi menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Itu kata penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah selepas membantu Liverpool menewaskan Chelsea 2-0 di Anfield tengah malam tadi.

Salah yang menjaringkan gol kedua The Reds percaya jika pasukannya mampu menewaskan Cardiff City, Newcastle United, Huddersfield Town dan Wolverhampton Wanderers mereka menjulang trofi keramat liga itu.

“Saya yakin ia boleh terjadi (menang empat baki perlawanan dan menjuarai EPL).

“Saya selalu mengikuti perkembangan Manchester City dan mengikuti semua keputusan yang diraih mereka kerana itu membantu kami beraksi lebih baik,” katanya.

Salah kini berkongsi kedudukan pendahulu anugerah Kasut Emas EPL musim ini bersama penyerang City, Sergio Aguero dengan menjaringkan gol ke-19 dalam aksi bertemu Chelsea itu.

Sementara itu, Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp bangga dengan semangat dan komitmen padu dipamerkan pemainnya dalam perlawanan penting berkenaan.

Jelasnya, kemenangan ke atas The Blues itu akan menjadi motivasi terbaik kepada Reds menjelang timbal balik kedua menentang FC Porto di suku akhir Liga Juara-Juara minggu ini.

“Saya sangat bangga dapat menjadi sebahagian team hari ini. Persembahan yang fantastik, hebat dan aura stadium yang hebat

“Pemain melaksanakan arahan dengan baik. Kemenangan juga sebagai tonik berdepan FC Porto selepas ini,” kata pengurus dari Jerman itu.

Komen anda