Wan Jamak: Ultras Malaya bukan penyokong sejati

7149

 

TINDAKAN Ultras Malaya memboikot Piala Airmarine 2019 yang membuka tirainya kelmarin jelas membuktikan mereka bukanlah penyokong sejati sebagaimana dilaungkan selama ini, lapor RODLY FADLY.
Bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, soal harga tiket yang mahal atau unsur eksploitasi sebagaimana didakwa terlalu remeh untuk dijadikan alasan.
Sebaliknya, Wan Jamak menegaskan, sebagai kelab penyokong, Ultras Malaya patut terus memberi sokongan kepada skuad kebangsaan walau dalam apa keadaan sekalipun.
“Selama ini kita sangat bangga dengan komitmen Ultras Malaya yang sentiasa berdiri di belakang skuad negara dalam setiap perlawanan tapi apa yang mereka lakukan sekarang jelas sangat mengecewakan.
“Perkara itu (boikot) tidak patut berlaku, apatah lagi oleh kelab penyokong seperti Ultras Malaya. Ia bukan cara terbaik untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu isu sehingga menjadikan skuad kebangsaan sebagai mangsa.
“Mereka patut berdiri di belakang Harimau Malaya tapi situasi yang berlaku ini jelas menunjukkan bahawa penyokong kita belum benar-benar mempunyai jiwa bola sepak dalam diri mereka.
“Jika ini sikap penyokong kita, mereka belum layak untuk mengaku diri sebagai penyokong sejati,” tegas Wan Jamak.
Ultras Malaya menerusi akaun Twitter mereka pada Selasa lalu menyatakan pendirian untuk memboikot kejohanan edisi sulung itu sebagai langkah membantah harga tiket RM35 yang dianggap mahal, malah mendakwa pasukan negara cuba dieksploitasi oleh pihak tertentu untuk tujuan mengaut keuntungan.
Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan serta dijelaskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh setiausahanya, Stuart Ramalingam.
Namun, kempen boikot itu seolah-olah ‘disambut’ oleh peminat dan penyokong bola sepak apabila hanya sekitar 4,000 penonton sahaja hadir menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Singapura malam tadi  di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang berkapasiti 90,000 penonton.
Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe tewas 0-1 hasil jaringan Faris Ramli pada minit ke-82, sekali gus menafikan tempat ke final dalam pertandingan empat penjuru itu yang turut membabitkan Oman dan Afghanistan.
Harimau Malaya akan membuat perhitungan tempat ketiga dan keempat dengan Afghanistan esok selepas lawannya itu dibelasah Oman 5-0 pada perlawanan petang semalam.
“Saya harap penyokong menamatkan kempen boikot ini dan turun menyokong pasukan kita Sabtu ini sekalipun perlawanan itu sekadar untuk merebut tempat ketiga,” ujarnya.

Komen anda