Impian Kisona cipta kemenangan hatrik lebur

164

IMPIAN pemain perseorangan wanita negara, S. Kisona untuk melakar kemenangan hatrik Kejohanan Siri Antarabangsa Malaysia 2019 musnah selepas tumpas kepada pemain Indonesia, Sri Fatmawati dalam aksi separuh akhir di Arena Badminton Perak di sini, semalam..

Meskipun mendapat sokongan padu daripada penonton, pemain kelahiran Seremban itu gagal menandingi kehebatan Sri Fatmawati selaku pilihan ketujuh apabila tumpas 11-21, 21-15, 23-25 dalam aksi yang berlangsung selama satu jam dua minit itu.

Kisona ketika ditemui selepas perlawanan mengakui kekalahan beliau kepada pemain Indonesia itu disebabkan rasa gugup selain hilang fokus terutama pada set pertama dan kedua hingga membolehkan lawan mengutip mata mudah.

Katanya, beliau juga menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka dan berazam mempertingkatkan prestasi bagi memastikan kejayaan dikecapi pada kejohanan masa depan.

“Secara keseluruhan kekalahan ini juga disebabkan kawalan gelanggang yang kurang kemas. Saya juga terlalu banyak hantar bola (bulu tangkis) tinggi hingga membolehkan lawan untuk melakukan smash dan mengutip mata mudah.

“Apa pun, adat pertandingan ada yang menang dan ada yang kalah. Bagi saya pada kejohanan kali ini saya banyak belajar supaya mempelbagaikan cara permainan dan pada yang sama perlu tingkatkan prestasi ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Kisona memenangi kejohanan itu sebanyak dua kali iaitu pada 2017 di Putrajaya dan pada 2018 di Pulau Pinang.

Sementara itu, bagi peringkat akhir perseorangan wanita esok, Sri Fatmawati akan menentang seorang lagi wakil negara, Eoon Qi Xuan yang menumpaskan pemain Thailand, Nuntakarn Aimsaard 21-6, 21-18.

Komen anda