Kerajaan Kelantan janji sokongan padu kepada Presiden baharu KAFA

54

KERAJAAN Kelantan akan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang dipilih sebagai Presiden baharu KAFA bagi penggal 2019-2023

 

 

Menurutnya, pihaknya berharap Wan Abdul Rahim dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan baik.

 

 

“Dalam persatuan, soal politik harus ketepikan, walaupun berlainan ideologi politik ia tidak menjadi masalah dan kita profesional dalam hal ini,” katanya pada sidang media sempena Karnival Sukan Kelantan 2019 di Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan di sini, hari ini.

 

 

Hadir sama, Pengarah MSN Kelantan, Mohamad Imran Mansor.

 

 

Wan Abdul Rahim yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, menang jawatan presiden pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) KAFA minggu lalu apabila mengalahkan ahli perniagaan Datuk Seri Amril Aiman Ab Aziz, sekali gus diangkat sebagai pengganti Bibi Ramjani Illias Khan.

 

 

Bibi Ramjani melepaskan jawatan presiden 18 Jun lalu selepas berdepan pelbagai cabaran dalam mengemudi The Red Warrior (TRW) sejak dilantik pada September 2017.

 

 

Sementara itu, Wan Roslan berkata, pihaknya juga bersedia untuk memberi pandangan atau idea bagi membantu memajukan KAFA jika diperlukan.

 

 

“Seperti sebelum ini, jika diminta pandangan atau idea kita akan bekerjasama dengan harapan dapat membantu meletakkan sukan bola sepak di negeri ini ke peringkat yang lebih baik,“ katanya.

 

Komen anda