80 pelumba sahut cabaran TdIJ

205
Pelumba negara dari pasukan kebangsaan Sofian Nabil Omar Mohd Bakri (kiri), Sapura Cycling Benjamin Dyball dan Terengganu Inc.,Terengganu Cycling Team (TSG) Irwandie Lakasek (kanan) yang akan memberi cabaran sengit pada kejohanan berbasikal Tour de Iskandar Johor 2019 pada sidang media hari ini. Kejohanan selama dua hari bermula esok dengan jarak keseluruhan perlumbaan sejauh 403 kilometer, dimulakan dengan pelepasan peserta dari Dataran Mahkota, Iskandar Puteri dan berakhir di Jalan Sungai Chat.

SERAMAI 80 pelumba daripada 23 pasukan bakal berentap pada perlumbaan berbasikal Tour de Iskandar Johor 2019 (TdIJ 2019) yang bermula di Dataran Iskandar Puteri, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja TdIJ 2019, Jaafar Hashim berkata, pasukan yang bakal menyertai kejohanan itu melibatkan 15 pasukan benua Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), enam pasukan negeri dan dua pasukan kebangsaan dari Malaysia dan Sri Lanka.

“Kejohanan ini bakal meliputi laluan sejauh 403 kilometer melibatkan tiga peringkat dari Iskandar Puteri ke Batu Pahat; Muar ke Yong Peng dan Kluang ke Johor Bahru,” katanya pada sidang media sempena perlumbaan berkenaan di sini semalam.

Pengerusi Tour de Iskandar Johor 2019, Jaafar Hashim ketika sidang media kejohanan berbasikal Tour de Iskandar hari ini. Kejohanan selama dua hari bermula esok dengan jarak keseluruhan perlumbaan sejauh 403 kilometer.

Antara pasukan dijangka mencuri perhatian termasuk pasukan benua Team Sapura Cycling, yang mempamerkan persembahan cemerlang pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 berakhir minggu lepas, serta Terengganu Cycling Team dari Malaysia; Kinan Cycling Team dan Team Ukyo dari Jepun.

TdIJ 2019 yang dianjurkan Sovereign International Ventures Sdn Bhd dengan kerjasama kerajaan Johor adalah acara julung kali diadakan di negeri itu dan berstatus 2.2 dalam kalendar UCI.

Selain itu, saingan tersebut turut mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan.

Komen anda