Aaron Chia-Wooi Yik belum ada mentaliti juara: Paulus Firman

433
Ketua Jurulatih beregu lelaki negara, Paulus Firman melihat gandingan Aaron Chia Teng-Soh Wooi Yik belum memiliki mentaliti juara yang diperlukan bagi mencipta kejayaan, sekali gus muncul antara gandingan terbaik dunia.

Beliau memberitahu, aspek itu jelas terpancar ketika mereka berdepan pasangan Indonesia, Ahsan-Hendra Setiawan pada aksi final Seluruh England 2019 di Birmingham, Ahad lalu walaupun Aaron-Wooi Yik berjaya menundukkan beberapa regu terbaik dunia sepanjang kejohanan tersebut.

“Kita boleh nampak dari segi pengalaman, pasangan kita masih belum cukup jika mahu dibandingkan dengan Ahsan-Hendra yang mempunyai pengalaman luas sebagai juara di peringkat antarabangsa. Mereka (Ahsan-Hendra) menggunakan pengalaman itu untuk tewaskan kita.

“Mentaliti juara pemain kita juga belum nampak dan ia jelas dilihat pada perlawanan akhir. Memang di peringkat awal sehingga ke final, mental mereka masih kuat dan boleh serap tekanan tetapi tidak di final.

“Final itu suasananya lain. Jadi itu perkara yang perlu kita titikberatkan,” katanya kepada pemberita sejurus tiba dari England di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam kelmarin.

Pada masa sama, beliau juga mahu pastikan beregu muda negara itu sentiasa ‘laparkan’ kejayaan dan tidak berpuas hati dengan pencapaian semasa selain tampil konsisten dengan prestasi terbaik.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berpandangan Aaron-Wooi Yik telah menunjukkan peningkatan prestasi.

“Seluruh skuad menunjukkan peningkatan prestasi seperti yang kami jangkakan, tetapi prestasi Aaron-Wooi Yik adalah di luar jangkaan kami apabila mereka berjaya mara ke final All England,” katanya.

Mengakui masih terdapat beberapa kelemahan, Choong Hann berpendapat, latihan yang konsisten dapat membaiki kelemahan selain mengukuhkan keserasian untuk menjadi antara gandingan terbaik dunia.

Beliau turut menasihati Aaron-Wooi Yik agar lebih fokus dan bersedia dari segi latihan serta permainan untuk menghadapi Terbuka Malaysia 2019 selain memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bermula Mei depan.

Komen anda