Aaron, Wooi Yik kedua terbaik Seluruh England

3208

BEREGU lelaki negara, Aaron Chia Teng Fong-Soh Wooi Yik gagal meneruskan aksi cemerlang setelah tewas pada aksi final Kejohanan Badminton Seluruh England 2019 di Arena Birmingham, England.

 

Pasangan bukan pilihan itu yang menumbangkan beberapa beregu terbaik dunia sebelum ini, mempamerkan aksi terpuji ketika menentang bekas juara dunia 2015, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia pada aksi final yang turut disiarkan secara langsung di TV1.

Foto: BAM

Aaron-Wooi Yik bermula dengan langkah kanan setelah menang 21-11 pada set pertama.

 

Tersentak dengan kekalahan tersebut, Mohammad dan Hendra kembali memperkemaskan corak permainan dan melakukan serangan bertali arus untuk meraih kemenangan 21-14 pada set kedua.

 

Kesilapan di jaring selain pukulan yang beberapa kali keluar gelanggang oleh Aaron  dan Wooi Yik pada set ketiga, jelas dimanfaatkan sepenuhnya oleh Mohammad dan Hendra yang melakar kemenangan 21-12, sekali gus kejuaraan Seluruh England kedua untuk mereka setelah muncul juara pada 2014.

 

Kegagalan tersebut menyaksikan Aaron-Wooi Yik gagal menamatkan badi kejuaraan yang kali terakhir dimenangi bekas beregu negara, Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong pada 2007.

 

Pasangan muda negara itu sebelum ini beraksi cemerlang termasuk mengejutkan beregu ke-12 dunia, Liu Cheng-Zhang Nan dari China pada aksi suku akhir dan pasangan kesembilan dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia pada separuh akhir.

Komen anda