Abdul Latif azam pertahan emas

114

MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY

ATLET Paralimpik negara, Abdul Latif Romly tekad mempertahankan pingat emas dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) November ini.

Menurutnya, beliau turut menyasarkan untuk mencipta kejuaraan hatrik selepas berjaya menang emas dalam dua edisi berturut-turut sebelum ini di Doha, Qatar pada 2015 dan di London, England dua tahun lalu.

“Untuk menang emas dalam kejohanan kali ini saya perlu lompat sekurang-kurangnya 7.50 meter (m) dan lompatan terbaik tahun ini adalah 7.49m yang saya buat di Terbuka Thailand.

“Saya yakin mampu pertahankan emas tersebut dan jurulatih juga kata saya boleh buat, cuma perlu betulkan teknik lompatan.

“Saya juga tidak mengalami sebarang kecederaan dan optimis mampu buat lompatan yang baik,” katanya.

Dalam kejohanan di Doha, Abdul Latif mencatat lompatan 7.35m dan memperbaiki catatan lompatannya pada aksi di London dengan 7.37m.

Sementara itu, Abdul Latif juga memaklumkan perlu melakukan lompatan sejauh 7.75m untuk melayakkan diri menyertai kejohanan Sukan SEA Filipina.

“Saya belum layak ke Sukan SEA dan saya akan sertai beberapa kejohanan untuk cuba membuat lompatan sejauh 7.75m, Mungkin sukar tetapi saya akan cuba memandangkan saya telah berjaya buat lompatan 7.49m.

“Jika tidak, saya akan tumpu pada Sukan Para ASEAN. Kalau saya layak ke Sukan SEA maknanya saya akan fokus kedua-dua kejohanan itu,” katanya.

Komen anda