Acara berbasikal santai TNB JMFR kembali gegar Manjung

185
Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman (tengah), Chief Generation Officer TNB, Ir. Roslan Abdul Rahman (kiri) dan Pengarah Urusan TNB Janamanjung Sdn Bhd (TNBJ), Datuk Shamsul Ahmad (kanan) menandatangani kereta rasmi TNB JMFR 2019.

Acara berbasikal secara santai TNB Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) kembali untuk edisi ke-12 pada 28 April ini dengan lebih 1,400 peserta mengambil bahagian.

Edisi kali ini menjadi lebih bermakna dan meriah sempena TNB Janamanjung Sdn Bhd (TNBJ) menyambut ulang tahun ke-20 kewujudan Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS) di Manjung.

Kehangatan dan kemeriahan jelajah berbasikal itu semakin terasa menjelang acara dengan berlangsungnya majlis prapelancarannya di Dataran Vibrant, Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB), Bangsar semalam.

Ia disempurnakan oleh Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman; Ketua Peg TNB, Ir. Roslan Abdul Rahman dan Pengarah Urusan TNBJ, Datuk Shamsul Ahmad serta pegawai TNB yang lain.

Berbaki sebelas hari sahaja lagi untuk menggegar bumi Manjung, acara berprestij TNB JMFR itu menerima penyertaan pengayuh amatur dan berpengalaman, dari dalam dan luar negara.

Peserta bakal mengayuh sejauh 121 kilometer dari Teluk Batik dengan merentasi pekan Parit dan Air Tawar, sebelum kembali ke Teluk Batik. Mereka akan dilepaskan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Sains,Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC), YB Isnaraissah Munirah Majilis.

Pada majlis prapelancaran, Roslan melepaskan sebahagian daripada 16 buah kenderaan TNB yang memaparkan logo rasmi TNB JMFR 2019, yang akan mempromosikan acara kayuhan itu di sekitar Lembah Klang dan negeri Perak.

Bertemakan ’Cycling for Green’, penganjuran TNB JMFR kali ini menyambung komitmen TNBJ dalam memulihara alam sekitar, yang mana RM10 daripada yuran pendaftaran disumbangkan kepada penanaman semula anak pokok bakau di persisiran pantai sekitar Manjung.

JMFR mula diperkenalkan pada tahun 2008 dan mula menjadi program tahunan negeri Perak sejak tahun 2015.

Komen anda

SAHAM
Artikel sebelum iniPKNP FC pamer semangat juang
Artikel seterusnyaPDRM alih tumpuan