ACPLJ2019 pentas asah bakat pelapis negara

126

AEON Credit Purple League Junior 2019 (ACPLJ2019) yang memasuki edisi kelima tahun ini menjadi pentas terbaik buat barisan pemain muda negara mengasah bakat berentap dengan pemain-pemain bertaraf dunia seusia mereka.

Penganjuran ACPLJ2019 adalah usaha sama antara AEON Credit Service (M) Sdn Bhd dan Malaysia Purple League (MPL), sebuah entiti yang telah memperkenalkan liga profesional badminton pertama negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MPL, Datuk Jack Koh berkata, setiap tahun pihaknya menerima banyak permintaan untuk menambah slot pasukan bagi menyertai kejohanan tersebut.

“Dengan kehadiran beberapa pasukan dan divisyen baharu, sudah pasti kelompok pemain juga akan bertambah, sekali gus dapat membantu pasukan pencari bakat dan jurulatih memilih pemain yang berbakat,” jelasnya.

Selepas mengambil kira kepentingan program pembangunan bakat muda, ACPLJ 2019 akan menjadi pertandingan utama Purple League tahun ini.

Ia berikutan penganjuran liga utama Purple League terpaksa direhatkan untuk edisi tahun ini bagi memberi peluang kepada para pemain negara mengutip seberapa banyak mata untuk kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Kami sangat teruja untuk menjadi rakan strategik kepada MPL kerana berpeluang untuk menyediakan pentas terbaik untuk pemain-pemain muda mempamerkan bakat mereka,” kata Pengarah Urusan AEON Credit, Yuro Kisaka.

ACPLJ2019 akan membuka tirai di Sports Arena Falim, Ipoh pada Sabtu dan Ahad ini. Pusingan akhir dijadualkan di Sports Arena Sentosa, Kuala Lumpur pada 19 hingga 20 Oktober depan.

Komen anda