Ada keistimewaan untuk pasukan yang sanggup lepas pemain sertai skuad kebangsaan: Kevin

512
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bercadang untuk memberikan hak keistimewaan kepada pasukan-pasukan Liga Malaysia yang sudi melepaskan pemain mereka menyertai pasukan kebangsaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, beliau akan mengemukakan beberapa cadangan termasuk hak keistimewaan itu kepada Ahli Lembaga Pengarah badan pentadbir liga tanah air dalam usaha membantu agenda negara demi kepentingan pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa.

Jelas Kevin, beliau percaya cadangan dengan memberikan hak keistimewaan kepada pasukan-pasukan secara tidak langsung menjadikan situasi menang-menang di antara pihak pengurusan pasukan Liga Malaysia dan skuad kebangsaan baik senior mahupun peringkat umur.

“Buat masa ini, peraturan-peraturan diberikan keutamaan kepada pasukan senior kebangsaan dan bukan kepada pasukan (muda) tetapi bagaimana MFL pula boleh menyokong pasukan (muda) kebangsaan dalam isu ini pihak sekretariat diketuai oleh saya mungkin boleh bawa isu ini kepada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam tempoh terdekat.

“Mungkin beberapa cadangan yang kemungkinan kita boleh memberikan keistimewaan kepada pasukan-pasukan yang melepaskan pemain mereka.

“Apa keistimewaan itu masih belum dibincangkan lagi dengan Ahli Lembaga Pengarah MFL tetapi mungkin kita boleh ketengahkan satu cadangan jika satu pasukan itu sedia melepaskan pemain, mereka boleh daftar 35 pemain, bukan 30 pemain dalam Liga Malaysia misalnya jika itu memberikan kelebihan kepada sesuatu pasukan.

“Kita tidak boleh memaksa tetapi daripada sudut liga, agenda kebangsaan dan juga kejayaan pasukan kebangsaan adalah satu kejayaan penting buat liga. Ini kerana pasukan kebangsaan berjaya kita pun mendapat sokongan dan minat yang lebih lagi daripada para penyokong, penaja dan sebagainya,” katanya semalam.

Kevin turut menjelaskan, sentiasa berusaha keras untuk membantu pasukan kebangsaan dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan agenda negara di peringkat antarabangsa khusus kepada pasukan-pasukan Liga Malaysia.

“Kita perlu beri sokongan dan sentiasa memberikan sokongan. Mungkin MFL boleh ketengahkan satu peraturan atau cadangan bagi memberikan keistimewaan tetapi seperti saya katakan tadi itu cuma (pendaftaran 35 pemain) baru di peringkat cadangan.

“Banyak lagi perkara perlu dibuat dan ia juga memerlukan persetujuan daripada pasukan-pasukan. Keputusan MFL dibuat daripada pasukan-pasukan yang bersama MFL.

“Jika sebilangan besar menyokong dan melepaskan pemain, mungkin cadangan ini boleh diluluskan dan keistimewaan diberikan kepada mana-mana pasukan yang sanggup melepaskan pemain mereka untuk agenda kebangsaan,” ujarnya.

Komen anda