Adrian persis Rocky

25
Adrian meraikan kejayaan Liverpool menjuarai Piala Super Eropah di Istanbul awal pagi semalam.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memuji ketangkasan penjaga gol, Adrian yang membantu The Reds menjuarai Piala Super Eropah selepas menewaskan Chelsea 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti di Vodafone Park, Istanbul awal pagi tadi.

Adrian menyelamatkan sepakan terakhir Tammy Abraham, sekali gus dijulang sebagai wira The Reds pada perlawanan penuh dramatik itu yang menemukan dua juara – Liverpool selaku juara Liga Juara-Juara dan Chelsea yang tampil sebagai juara Liga Europa.

"Adrian! Dia seperti Rocky," kata Klopp merujuk kepada wira dalam filem terkenal lakonan Sylvester Stallone iaitu Rocky.

"Itulah kisahnya. Dia mengetepikan semua rasa gemuruh dalam dirinya. Saya rasa dia tidak banyak memenangi gelaran sebelum ini dan kejayaan ini amat bermakna untuknya.

"Dia telah berjaya menyelamatkan beberapa percubaan merbahaya… saya sangat bangga dengannya. Saya tidak tahu di mana dia dua minggu lalu ketika kami berdepan Manchester City," ujar Klopp lagi merujuk kekalahan 4-5 Liverpool kepada City pada saingan Perisai Komuniti di Stadium Wembley.

Bekas penjaga gol West Ham itu yang baru menyertai Liverpool awal bulan ini berpeluang membuktikan kemampuan sebenarnya pada perlawanan itu selepas menggantikan tempat Alisson Becker yang mengalami kecederaan betis.

"Apabila saya bercakap dengannya (Adrian) buat pertama kalinya, sudah jelas dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri tetapi kini dia telah membuktikan keserasiannya dan beraksi cemerlang.

"Adrian seorang pemain yang luar biasa dan penampilan hebatnya ini sedikit mengejutkan kerana dia turun tanpa persiapan. Saya tidak tahu bila kali terakhir dia beraksi bersama West Ham tetapi kemunculannya sangat luar biasa," jelas Klopp.

Pada perlawanan itu, Olivier Giroud meletakkan Chelsea di depan pada pada minit ke-36. Penyerang Liverpool, Sadio Mane menyamakan kedudukan pada minit ke-48 sebelum meledakkan gol kedua peribadinya buat The Reds pada masa tambahan (minit ke-95).

The Blues berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Jorginho enam minit kemudian selepas Adrian menjatuhkan Abraham dalam kotak penalti, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas tamat masa tambahan.

Komen anda