AFC, DDMC Fortis meterai perjanjian bersejarah untuk bola sepak Asia

452
Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Al-Khalifa (empat, kiri), Setiausaha Agung AFC Paul Windsor (tiga, kiri) dan Pengerusi DDMC Fortis Limited, Dr Yi Rentao (lima, kiri) bergambar bersama pada Majlis Menandatangani Perjanjian Agensi Eksklusif bagi tahun 2021 sehingga 2028 antara AFC dan DDMC Fortis Limited, hari ini. FOTO: Bernama

PEMILIHAN DDMC Fortis sebagai agensi eksklusif menjaga hak komersial dan penyiaran untuk pertandingan di bawah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) diyakini dapat memacu badan bola sepak Asia itu ke satu tahap yang lebih tinggi.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata pemilihan tersebut sangat tepat memandangkan DDMC Fortis mempunyai pengalaman yang luas dan menepati segala kriteria yang ditetapkan.

“Fortis mempunyai kepakaran mengendalikan pertandingan dengan adanya pegawai-pegawai berpengalaman yang bertanggungjawab mewujudkan Liga Juara-Juara UEFA manakala DDMC pula memberikan sokongan kewangan. Kita lihat sebagai satu pakej yang baik.

“Saya percaya perjanjian ini akan menjadi satu platform dalam menyediakan pertandingan terbaik kepada pemain-pemain bola sepak di Asia.

“Kita juga harap perjanjian ini akan membawa AFC ke satu tahap yang lebih tinggi dan menjadi permulaan baharu kepada kami mencapai kejayaan yang lebih baik di masa akan datang,” katanya.

Dalam sidang media yang berlangsung di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur semalam, AFC mengumumkan perjanjian dengan DDMC Fortis yang meliputi hak komersial dan penyiaran untuk semua pertandingan peringkat kelab dan antarabangsa di bawah AFC seperti Piala Asia, Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan kelayakan Piala Dunia rantau Asia kecuali untuk zon Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).

Perjanjian itu akan bermula pada 2021 hingga 2028 seperti yang diputuskan oleh mesyuarat Exco AFC pada 11 Jun lalu di Moscow.

Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (afc), Shaikh Salman Ebrahim Al-Khalifa (kiri) dan Pengerusi DDMC Fortis Limited Dr Yi Rentao (kanan) bersalaman sewaktu Majlis Menandatangani Perjanjian Agensi Eksklusif bagi tahun 2021 sehingga 2028 antara afc dan DDMC Fortis Limited, hari ini. FOTO: Bernama

Hadir sama di sidang media tersebut ialah Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa yang menyifatkan perjanjian ini sebagai satu sejarah baharu buat bola sepak Asia.

“Dengan termeterainya perjanjian ini, AFC memberi jaminan bahawa pertandingan-pertandingan bola sepak di Asia selepas ini akan jadi lebih hebat kerana bakal mempunyai kewangan yang lebih kukuh daripada sebelumnya.

“Saya bersyukur dengan keyakinan dan kepercayaan yang diberikan DDMC Fortis dalam membantu bola sepak Asia berkembang lebih maju selepas ini,” kata Shaikh Salman.

Komen anda

SAHAM
Artikel sebelum iniAFC sokong TMJ
Artikel seterusnyaTengku Amirul juara CP115