Akid kotakan janji kuasai UB150

120

MD Akid Aziz mengotakan janjinya untuk menakluk Litar Antarabangsa Chang Buriam.

Pelumba UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team itu tampil garang untuk muncul juara Perlumbaan 1 bagi Kelas Underbone 150.

Pada perlumbaan lapan pusingan di litar sepanjang 4.5 kilometer itu, Akid mencecah garisan penamat dengan catatan masa 16:25.633s, sekali gus menebus kekecewaannya pada Pusingan 1 di Litar Sepang Mac lalu.

Ketika saingan di Sepang, Akid sekadar menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ketiga manakala pada Perlumbaan 2, dia gagal melakukan penyudah podium.

Lebih manis, kemenangan Akid di Buriram ini menepati impiannya untuk menghalang pendahulu keseluruhan, McKinley Kyle Paz dari Filipina daripada menjejakpodium kemenangan.

McKinley sekadar menduduki tempat keenam pada Perlumbaan 1.

Naib juara Perlumbaan 1 semalam adalah pelumba Indonesia, Richard Richie Taroreh (Pro-Liner 549 KABOCI Racing Team) dengan catatan masa keseluruhan, 16:25.776s.

Seorang lagi pelumba negara, Md Affendi Rosli dari Team One For All menamatkan saingan di tempat ketiga dengan catatan masa 16:26.017s.

Ketika ditemui, Akid menjelaskan bahawa segala perancangan serta strateginya mengharungi perlumbaan tersebut telah membuahkan hasil.

Menurutnya, dia tidak terlalu terburu-buru untuk melancarkan ‘serangan’ sebaliknya mengekalkan kedudukan dalam kelompok hadapan.

“Saya hanya mengikut rentak dan pada masa yang sama perlu berada dekat dengan pelumba yang memimpin perlumbaan.

“Saya mengambil pendekatan ’tunggu dan lihat’ untuk melancarkan asakan dan ternyata strategi yang saya rancang itu amat berkesan,” jelas Akid.

Menurutnya, dia tampil maksimum pada lap terakhir dan tidak memikirkan apa yang akan berlaku.

“Pada lap terakhir, saya telah mengerah segala yang ada untuk memintas pelumba lain dan ia berkesudahan dengan sempurna sehingga ke garisan penamat,” jelasnya yang bermula di petak pertama pada perlumbaan tersebut.

Hari ini, Akid tetap menggunakan pendekatan yang sama untuk mengharungi Perlumbaan 2 yang dia jangka lebih mencabar berbanding Perlumbaan 1 semalam.

Sementara itu, dalam kelas AP250, barisan pelumba Malaysia kurang menyerlah dalam Perlumbaan 1 dan pencapaian terbaik adalah menerusi Md Muzakir Mohamed dari pasukan ONEXOX TKKR SAG Team yang menamatkan saingan 10 pusingan itu di tempat ke-10.

Perlumbaan tersebut dikuasai Muklada Sarapueh dari Thailand yang menggalas cabaran pasukan A.P. Honda Racing Thailand.

Muklada merupakan antara tiga pelumba wanita yang bersaing dalam kelas AP250, menamatkan perlumbaan dengan catatan masa keseluruhan 19:01.091s.

Dua lagi pelumba wanita yang bersaing dalam kelas AP250 adalah Liu Junmei dari Taiwan dan Miu Nakahara dari Jepun.

KEPUTUSAN (5 teratas)
Underbone 150 (Perlumbaan 1)

Md Akid Aziz (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team – 16:25.633s
Richard Richie Taroreh (INA) Pro-Liner 549 KABOCI Racing Team – 16:25.776s
Md Affendi Rosli (MAS) Team One For All – 16:26.017s
Wahyu Nugroho (INA) Yamaha Racing Indonesia- 16:26.149s
Md Hafiza Rofa (MAS) ONEXOX TKKR SAG Racing Team – 16:26.277s

AP250 Perlumbaan 1 (3 teratas)

Muklada Sarapuech (THA) A.P Honda Racing Thailand – 19:01.091s
Tatchakorn Buasri (THA) A.P. Honda Racing Thailand – 19:02.295s
Irfan Ardiansyah (INA) ASTRA Honda Racing Team – 19:04.491s

Komen anda