Alex Rins dedah taktik kotor pelumba MotoGP di Qatar

676
Pelumba Suzuki, Alex Rins mengakui cukup kecewa dan marah apabila dia seolah-olah ‘dipermainkan’ oleh barisan pencabar utamanya pada Kejuaraan MotoGP Grand Prix (GP) Qatar di Doha, Ahad lalu.

Pada awalnya, Rins dilihat mampu memberi cabaran sengit kepada beberapa pelumba di kelompok hadapan seperti Andrea Dovizioso (Ducati), Marc Marquez (Honda) dan Cal Crutchlow (Honda) sehingga ada ketikanya dia mendahului perlumbaan.

Begitupun, Rins yang menunggang jentera GSX-RR mendakwa ada pelumba yang menggunakan ‘taktik kotor’ sehingga menyebabkan dia akhirnya terpaksa berpuas hati berada di tangga keempat.

Situasi itu ternyata mengecewakan Rins yang beranggapan dia sepatutnya mampu menamatkan perlumbaan di Litar Antarabangsa Losail di kedudukan podium utama.

“Dalam tempoh 10 minit pertama, saya cukup kecewa. Namun, apa yang boleh menggembirakan saya apabila kami semakin hampir (dengan barisan pencabar utama lain).

“Sejujurnya, saya fikir saya mempunyai peluang untuk menang. Bagaimanapun, ini pula yang terjadi! Ada perkara baik yang berlaku dan ada juga perkara buruk yang berlaku.

“(Jentera) kami cukup baik apabila berada di selekoh tetapi (tidak) ketika di laluan lurus. (Jentera) Ducati pula mempunyai kepantasan yang baik tetapi agak perlahan di selekoh.

“Inilah kehidupan! Saya sedar sebelum perlumbaan bermulanya perlumbaan ini, kami sudah jangkakan ia akan memberi kesukaran kepada kami,” jelas pelumba Sepanyol itu.

Rins turut memberitahu Dovizioso dan Crutchlow memintasnya dan Marquez ketika bendera kuning dikibarkan ekoran kemalangan yang menimpa Bradley Smith pada pusingan sebelum itu.

“Apa yang saya lihat Crutchlow dan Dovi melakukan perkara itu apabila bendera kuning dikibarkan. Itu yang saya lihat dan saya rasa Marquez juga melihat perkara yang sama.

“Apa-apa pun saya mengakhiri perlumbaan di tempat keempat dan saya amat gembira,” jelasnya.

Komen anda