Alonso tambah koleksi kejuaraan

351

BEKAS juara dunia Formula 1 (F1), Fernando Alonso menambah satu lagi trofi juara dalam kariernya.

Awal pagi semalam, Alonso dinobat selaku juara perlumbaan 24 jam Daytona yang berlangsung dalam keadaan hujan lebat di litar Florida, Amerika Syarikat.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan pemandu kelahiran Sepanyol berusia 37 tahun itu menambah koleksi kejuaraan selepas dia cemerlang meraih 32 kemenangan podium pertama F1 termasuk muncul juara dunia musim 2005 dan 2006.

“Ia cukup menakjubkan. Ia satu pengalaman yang mengujakan bermula pada sesi ujian bebas sehingga mencapai kejayaan pada hari perlumbaan.

“Kami amat kompetitif dalam semua keadaan, sama ada (litar) kering atau lembap serta (perlumbaan) malam dan siang.” katanya yang mengakhiri kariernya dalam F1 pada penghujung tahun lalu.

Alonso membuat kemunculan sulung pada perlumbaan 24 jam Daytona tahun lalu. Namun, dia agak bergelut kerana mengalami masalah mekanikal, sekali gus menamatkan saingan di kedudukan ke-38 sebelum memenangi perlumbaan 24 jam Le Mans.

“Saya sudah lama tidak merasai situasi sebegini. Jadi saya amat gembira dengan kemenangan ini,” jelas Alonso yang me­raikan kejayaannya itu dengan meletakkan bendera Sepanyol di sekeliling bahunya.

Alonso menghabiskan perlumbaan hujung minggu lalu dengan memandu jentera No. 10 Cadillac DPi-V.R di bawah pasukan Wayne Taylor Racing. Dia memulakan perlumbaan di kedudukan petak keenam bersama tiga pemandu sokongan – Kamui Kobayashi, Jordan Taylor dan Renger van der Zande.

Komen anda