Amril Aiman bukan calon pilihan PBJ

170
Kamarudin Mohammad

RIFQIE RUZAIEN

DATUK Seri Amril Aiman Ab Aziz bukan calon pilihan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) untuk diangkat selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang baharu bagi menggantikan Bibi Ramjani Ilias Khan.

Perkembangan terbaharu itu pasti mencetuskan persoalan siapa yang akan menduduki kerusi nombor satu tersebut berikutan sebelum ini ahli perniagaan berusia 31 tahun itu dilihat calon tunggal yang menawarkan diri mahu merampas ‘takhta’ daripada Bibi Ramjani.

Yang Dipertua PBJ Tanah Merah, Kamarudin Mohammad berkata, pihaknya terdiri daripada tujuh ahli gabungan yang menuntut perubahan terhadap pucuk pimpinan KAFA itu menolak ‘cakap-cakap’ bahawa mereka bersedia mencalonkan Amril Aiman.

“Setakat ini beliau tidak ada datang berjumpa dengan PBJ untuk minta dicalonkan. Secara logik dan berfakta, beliau bukan calon yang digembar-gemburkan menjadi pilihan kita sebelum ini.

“Malah, gabungan PBJ juga tidak akan melantik beliau sebagai calon menggantikan tempat Bibi Ramjani,” katanya hari ini.

Sebaliknya, Kamarudin yang juga jurucakap tujuh PBJ berkenaan menjelaskan, mereka sudah mempunyai calon sendiri yang berpotensi menduduki kerusi panas badan induk bola sepak Kelantan itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti individu itu memandangkan mereka kini hanya mahu menumpukan usaha-usaha untuk memastikan mesyuarat agung luar biasa (EGM) dilaksanakan selepas Aidilfitri.

“Kita sudah ada calon sesuai tapi saya tak boleh beritahu sekarang. Perbincangan dengan individu ini sudah berlangsung dan beliau menunjukkan respons positif.

“Beliau ada pengalaman dalam aktiviti sukan tapi bukan bola sepak. Namun PBJ yakin beliau mampu memulihkan semula maruah bola sepak Kelantan yang terjejas teruk ketika ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kamarudin memberitahu, pihaknya akan menyerahkan surat bagi mendesak KAFA mengadakan EGM memilih barisan kepimpinan baharu, seminggu selepas Aidilfitri.

“Kita sudah buat perjumpaan bersama tujuh PBJ dan sepakat untuk menghantar surat kepada KAFA selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya.

Komen anda