Anak bekas jagoan badminton negara idam ikut jejak Chong Wei

51

BINTANG muda dalam pembikinan, Muhammad Fazriq Mohamad Razif mula memasang impian mengikut jejak langkah bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Bagi merealisasikan hasratnya, anak bongsu kepada legenda beregu lelaki negara, Datuk Razif Sidek berusia 15 tahun itu berkata, dia perlu berusaha keras dan menampilkan aksi terbaik pada setiap kejohanan disertainya.

“Untuk mencapai tahap setanding Chong Wei, saya juga perlu menimba lebih banyak pengalaman dan meraih kejayaan demi kejayaan di peringkat antarabangsa.

“Bukan mudah menjadi pemain nombor satu negara pada usia yang masih muda, saya baru berusia 15 tahun. Saya perlu menyusun jadual saya sebaik mungkin dan dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun, saya akan cuba menjadi wakil negara (di peringkat senior).

“Saya mungkin boleh menjadi seperti Chong Wei jika saya terus mempamerkan aksi terbaik pada setiap kejohanan,” katanya di Kelab Rekreasi Cina Negeri Sembilan (NSCRC) hari ini.

Terdahulu, Fazriq berjaya menambah koleksi kejuaraan peribadinya selepas menumpaskan pemain Kuala Lumpur, Hooi Shao Herng 22-20, 21-15 pada aksi final Kejohanan Badminton Sirkit Remaja Kebangsaan Grand Prix.

Fazriq menjadi sebutan antara bintang muda yang bakal menggantikan Chong Wei, setelah merangkul kejuaraan kesembilannya di peringkat remaja pada Kejohanan Jemputan Shonai Bawah 15 Tahun selepas menumpaskan Alex Lenier 21-16, 21-10 pada aksi final di Jepun minggu lalu.

Sementara itu, Razif berkata, beliau tidak menaruh harapan terlalu tinggi kepada Fazriq bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Chong Wei selaku pemain nombor satu negara dalam tempoh singkat.

“Walaupun saya lihat dia (Fazriq) mempunyai ciri-ciri untuk menjadi pemain bertaraf dunia, buat masa ini saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi, kerana dia masih muda dan perlu menimba lebih banyak pengalaman terutama di pentas pertandingan.

“Saya berharap dia dapat mengekalkan prestasi, itu amat penting,” katanya yang turut berharap Fazriq mengecapi kejayaan muncul juara Seluruh England, Kejohanan Dunia, Sukan Olimpik serta Piala Thomas pada masa depan.

Komen anda