Anak Schumacher teruja dapat pandu uji Ferrari, Alfa Romeo

454

 

ANAK kepada legenda Formula 1 (F1), Michael Schumacher, Mick disahkan akan memandu uji Ferrari dan Alfa Romeo (sebelum ini dikenali sebagai Sauber) di sesi latihan sebelum saingan GP Bahrain minggu depan.

 

Scuderi sebelum ini mengumumkan bahawa anak kepada pemegang rekod juara dunia F1 itu akan memandu jentera Ferrari pada 2 April dan keesokan harinya diberi peluang memandu uji Alfa Romeo sebelum perlumbaan di Litar Sakhir bagi memberi pendedahan awal kepada pelumba berusia 20 tahun itu.

 

Bagi Mick, peluang memandu uji jentera terhebat dunia ini sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikirannya, terutamanya pada usia semuda ini.

 

“Sudah tentu saya lebih teruja dan ingin berterima kasih kepada Ferrari dan Alfa Romeo kerana memberi saya peluang keemasan ini.

 

“Saya tidak sabar menantikan hari itu dan saya yakin ini akan menjadi pengalaman terbaik untuk saya,” katanya.

 

Walaupun sesi pandu uji itu meletakkan Mick di satu tahap yang lebih tinggi berbanding saingan Formula 2 (F2) yang akan disertainya musim ini, beliau bagaimanapun yakin fokusnya tidak akan terganggu.

 

“Buat masa ini, saya meletakkan sesi pandu uji ini sebagai fokus awal, tetapi pada masa sama, saya juga akan tetap mempersiapkan diri untuk perlumbaan F2 pertama saya.

 

“Saya yakin dapat memberi tumpuan 100 peratus kepada dua perkara ini, kerana bagi saya kedua-duanya sama penting,” katanya lagi.

 

Mick sebelum ini mencetus fenomena apabila menjuarai saingan Formula 3 Eropah musim lalu. Selepas kejayaan itu, beliau diserap untuk menyertai Akademi Ferrari bermula tahun ini.

Komen anda