Arie sudah tiada…

32454

 

PEMAIN golf negara, Arie Irawan Fauzi disahkan meninggal dunia di bilik hotelnya di Sanya, China.

 

Beliau yang sepatutnya beraksi di pusingan Kejohanan Golf Sanya dilaporkan tidak hadir ke tempat perlawanan untuk acara kedua dalam Siri Jelajah PGA China.

 

Menurut kenyataan Jelajah PGA, pemain berusia 28 tahun itu didapati meninggal dunia ketika tidur dan mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut (apparent natural causes).

 

“Jelajah PGA dan Persatuan Golf China bersedih di atas kehilangan seorang anggota kami dan mengucapkan takziah kepada isteri Arie, Marina, dan ibu bapanya, Ahmad dan Jeny.

 

“Apabila berlaku perkara seperti ini berlaku dalam sukan ini, kami semua amat berdukacita,” kata kenyataan itu.

 

Jelajah PGA turut membuat keputusan membatalkan pusingan akhir Kejohanan Sanya sebagai menghormati pemergian mangsa.

 

“Sebagai penghormatan kepada keluarga, pegawai membatalkan pusingan akhir Kejohanan Sanya, pertandingan ini akan menjadi acara 54-lubang,” katanya kenyataan itu lagi yang turut mengesahkan laporan bedah siasat masih belum selesai.

 

Arie, pemain yang berada di ranking 1,366 dunia mula melebarkan karier golfnya sebagai pemain profesional pada 2013.

 

Beliau pernah memenangi dua acara Jelajah Asia Development pada 2015, namun kariernya terjejas selepas itu setelah terlibat kemalangan pada 2016 yang memaksanya berehat beberapa bulan.

 

Komen anda